Keluarga mahu inkues kematian Iman Zafran

10 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Keluarga kepada murid tahun empat, Allahyarham Iman Zafran Muhammad Hafizuddin, yang meninggal dunia pada 1 Oktober lalu di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, mahu pihak pendakwaan membuka satu inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu.

Peguam keluarga, Muhammad Yazid Mohamad Salim dari firma Tetuan Yazid Tishondra, berkata desakan itu dibuat selepas lebih sebulan berlalu tanpa sebarang maklum balas rasmi daripada pihak polis, pendakwa raya mahupun Kementerian Pendidikan.

“Sehingga hari ini, keluarga hanya menerima maklumat daripada pakar patologi yang menjalankan bedah siasat. Tiada penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa lain,” katanya pada sidang akhbar di Solaris Mont Kiara, di sini, hari ini. Yazid berkata, hasil bedah siasat pada 2 Oktober mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher, namun laporan penuh bedah siasat masih belum diterima oleh keluarga.

“Doktor memberitahu kesan tiga sentimeter itu berkemungkinan daripada kain skarf pengakap yang digunakan, dan terdapat satu lagi kesan bersaiz kira-kira satu sentimeter terletak secara simetri di bahagian tepi ke hadapan dengan sedikit putus di bahagian hadapan. Punca sebenar kesan tersebut masih belum dapat dijelaskan,” dakwanya.

Menurutnya yang dilantik sebagai peguam rasmi pada 15 Oktober lalu, keluarga turut dimaklumkan wujud beberapa elemen mencurigakan dalam siasatan termasuk catatan dalam buku catatan kelas yang mengandungi mesej berbentuk ugutan terhadap arwah, selain insiden buli dan pergaduhan yang dikatakan pernah berlaku antara arwah dengan beberapa rakan sekelas.

“Kami difahamkan pihak polis turut mengambil sampel tulisan tangan untuk dibandingkan dengan mesej dalam buku berkenaan.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada siasatan yang dibuat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan (ugutan melalui komunikasi) sudah memadai, atau perlu ditukar kepada Seksyen 302 (membunuh),” katanya.

Tambahnya, pihaknya menghormati siasatan yang dijalankan polis, namun menegaskan perlunya tindakan segera daripada Jabatan Peguam Negara bagi menentukan langkah susulan.

“Kami dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya bahawa mereka masih menunggu tarikh untuk membentangkan kes kepada Peguam Negara.

“Kami merayu agar perkara ini disegerakan jangan biar keluarga menunggu tanpa jawapan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa satu prosiding inkues adalah perlu sekiranya siasatan sedia ada gagal menjawab persoalan utama mengenai bagaimana kematian arwah berlaku.

“Inkues akan membolehkan semua pihak terlibat termasuk guru, murid dan saksi lain dipanggil memberi keterangan di hadapan koroner.

“Sekurang-kurangnya keluarga mendapat hak untuk mendengar sendiri keterangan itu,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang murid lelaki tahun empat ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |