KUALA LUMPUR – Polis mengklasifikasikan semula kes seorang pengawal keselamatan berusia 54 tahun yang meninggal dunia selepas diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, siasatan kes tersebut dipinda berikutan kematian mangsa.
“Fail siasatan telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, suspek, seorang lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai penghuni kondominium tersebut dilepaskan dengan jaminan polis, sementara menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya (TPR).
“Ini kerana kes ini pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. Setelah mangsa meninggal dunia, kes disemak semula,” ujarnya.
Beliau menambah, fail siasatan awal telah disiapkan dan dihantar kepada TPR tiga hari selepas kejadian dan kini menunggu arahan lanjut mengenai tindakan seterusnya.
Sukarno berkata, polis turut merampas sebuah pemetik api daripada suspek yang menyerupai sepucuk pistol.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang pengawal keselamatan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas diserang seorang penyewa lelaki di sebuah kondominium, Jalan Ipoh, di sini bulan lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi pada 13 Oktober lalu, mangsa didatangi seorang penyewa yang meminta bantuan untuk ke blok lain bangunan itu, namun menolak atas alasan tidak boleh meninggalkan pos kawalan.
Tindakan itu menyebabkan suspek bertindak agresif dengan menampar muka kiri, menumbuk dahi serta memijak badan dan kaki mangsa.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan sebelum ditemui meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
6

















































