Ahmad Maslan antara 6,832 graduan UUM terima ijazah

8 hours ago 5

ALOR SETAR – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan antara 6,832 graduan yang bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula 9 November ini.

Ahli Parlimen Pontian itu memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang komunikasi setelah menyiapkan tesis bertajuk Strategi Komunikasi Kerajaan Malaysia: Satu Analisis Penentuan Agenda dan Pembingkaian Pelaksanaan Goods and Services Tax.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Canselor UUM berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah pada konvokesyen itu.

“Daripada keseluruhan 6,832 graduan, seramai 5,575 graduan sarjana muda, manakala 1,241 graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana termasuk 16 graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.

“Majlis konvokesyen kali ini melibatkan seramai 6,317 graduan tempatan dan 441 lagi graduan antarabangsa, antaranya dari Indonesia (164), China (109), Pakistan (36), Arab Saudi (23), Nigeria (21), Somalia (18), Iraq (17) dan lain-lain seramai 53 orang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, UUM juga akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, Tan Sri Azman Mokhtar.

“Anugerah Pelajaran Diraja pula dikurniakan kepada Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin, 23, dan S. Vianca Syam, 24, serta Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Wong Yoong Wai, 24.

“Selain itu, seramai 1,339 graduan sarjana muda menerima ijazah kelas pertama dan UUM juga meraikan 137 graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat; Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif serta Sarjana Muda Sejarah Gunaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |