Perlombongan punca sebenar Sg. Perak tercemar

8 hours ago 5

IPOH – Pelepasan efluen dari dua kawasan perlombongan di bahagian hulu Perak dikenal pasti sebagai punca perubahan warna air Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik bertukar kebiruan seperti air laut.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, hasil siasatan mendapati dua kawasan perlombongan berkenaan melepaskan efluen yang melebihi had parameter dibenarkan.

“Terdapat tiga lokasi perlombongan di bahagian hulu Perak di mana satu daripadanya beroperasi secara sah dan memperoleh kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) manakala satu lagi tidak tertakluk kepada syarat kelulusan EIA dan satu lagi tidak beroperasi.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua kawasan perlombongan yang aktif itu melepaskan efluen tidak dirawat ke dalam sungai sehingga menyebabkan pencemaran sekali gus gagal mematuhi piawaian standard pelepasan yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurut Dr. Mohammad Ezanni, pengesahan itu dibuat selepas keputusan analisis sampel air Sungai Perak yang diperoleh daripada Jabatan Kimia Malaysia semalam mengesahkan perkara berkenaan.

Katanya, sebanyak 10 sampel air diambil dari beberapa lokasi termasuk Sungai Rui, Sungai Perak, Sungai Teboh, Sungai Kijang, Sungai Johan dan Sungai Kepayang.

“Hasil keputusan analisis yang diterima turut mengesahkan bahawa parameter sampel air yang diambil sepadan dengan sumber air dari kawasan lombong yang dikenal pasti.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan tindakan pendakwaan diambil dengan segera,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua premis berkenaan telah diberikan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) supaya menghentikan pelepasan sebarang efluen ke dalam mana-mana alur air atau sungai.

“Sementara itu, satu lagi premis yang beroperasi tanpa kelulusan EIA akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |