ALOR SETAR – Lelaki berusia 38 tahun yang bertindak menetak abang iparnya hingga putus kepala di Kampung Pida 3, Jerlun dekat sini Jumaat lalu dipercayai enggan memakan ubat serta menerima rawatan psikiatri sejak lima bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, disebabkan itu suspek dipercayai mengalami halusinasi sebelum bertindak menyerang mangsa berusia 45 tahun dalam kejadian tragis tersebut.
“Suspek memang ada kad rawatan (psikiatri) dan dia berhenti atau enggan menerima rawatan empat hingga lima bulan lalu. Saya percaya ia lebih kepada halusinasi.
“Dia berkemungkinan berprasangka buruk terhadap mangsa dan ia disebabkan halusinasi akibat berhenti makan ubat serta mendapatkan rawatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek sebelum ini menerima rawatan di Hospital Alor Setar selepas mengalami kemurungan sejak 2021.
“Siasatan masih dijalankan dan suspek kini dalam tahanan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pesawah berusia 45 tahun ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Pida 3 kira-kira pukul 7.05 malam Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, mayat mangsa, Nasir Md. Nayan, 45, ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan.
Bahagian kepala dijumpai pada jarak kira-kira satu meter dari lokasi badan mangsa.
Suspek selepas kejadian didapati berada di dalam rumahnya dan ditahan polis selepas dipujuk selama kira-kira 15 minit dalam keadaan masih memegang parang.
Hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah, namun keluarga memaklumkan lelaki terbabit mengalami gangguan perasaan. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
4

















































