‘Saya nak awak mati esok…’

11 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Seorang murid lelaki tahun empat yang ditemui meninggal dunia di tandas sekolahnya di Senawang, Negeri Sembilan, difahamkan pernah menerima ugutan untuk mati sehari sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Bapanya, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, mendedahkan bahawa anaknya, Allahyarham Iman Zafran, ada memberitahu kakaknya yang berusia 17 tahun bahawa seorang rakan sekolah telah mengugut mahu melihatnya mati keesokan hari.

“Malam sebelum kejadian (30 September), dia ada cakap kepada kakak dia, ada murid ugut nak tengok dia mati esok. Tapi kakak tak sempat beritahu kami sebab masa tu kami dah tidur,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Peguam Yazid Tishondra Solaris Mont Kiara, di sini hari ini.

Tambahnya, pihak polis juga menemui nota tulisan tangan dalam buku catatan milik arwah yang dipercayai mengandungi mesej berbaur ugutan.

“Dalam buku arwah, ada tulisan ‘Saya nak awak mati. Saya tak tahu awak akan masuk syurga atau neraka’. Itu yang pihak polis tunjukkan kepada kami,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai mekanik turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan anaknya merupakan murid autistik.

Katanya, tuduhan itu tidak benar sama sekali dan telah memberi tekanan besar kepada keluarga sejak tragedi tersebut.

“Iman bukan autistik. Dia cuma alami speech delay masa umur empat tahun, dan selepas dirujuk kepada pakar perubatan, doktor sahkan dia bukan autistik.

“Dia budak normal, ceria, penyayang dan sangat menghormati orang tua. Dia anak yang suka menolong orang lain dan tak pernah buat hal dengan cikgu atau kawan-kawan,” ujarnya

Beliau berkata, keluarga kini menuntut perkembangan siasatan menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti sama ada ugutan itu mempunyai kaitan dengan kematian anaknya.

“Kami nak keadilan. Kalau betul ada unsur buli atau ugutan, siasat sampai habis. Anak saya tak sepatutnya pergi macam ni,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang murid lelaki tahun empat ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |