Kemelut 150 meter WCE selesai

12 hours ago 5

SHAH ALAM – Kemelut pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan jarak 150 meter di Kampung Jawa, Klang yang berlarutan lebih 20 bulan berakhir dengan dengan tindakan penguatkuasan pengosongan terhadap 19 pemilik tanah.

Keengganan 19 pemilik tanah itu menjadi punca utama projek WCE Seksyen 3 tersebut tergendala meskipun lebih 90 peratus siap.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat bersama agensi berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), WCE, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil rakyat kawasan serta peguam pemilik tanah hari ini dengan sebarang bantahan pula disyorkan untuk dibawa ke mahkamah.
“Kita telah buat keputusan bahawa penguatkuasaan perlu dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini dalam memberikan ruang kepada pengosongan kawasan itu.

“Kepentingan awam ini perlu diteruskan kerana WCE telah ikut prosedur ditetapkan.

“Selain itu, supaya tiada alasan lagi hendak keluar tiada rumah, kita melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) menyediakan rumah smart sewa untuk kawasan-kawasan telah dikenal pasti ada kekosongan, kita beri keutamaan mereka berpindah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitannya hari ini.

Menurut Borhan, keputusan itu dibuat selepas penelitian terperinci termasuk mendapatkan nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor (PUU) bagi memastikan semua prosedur dipatuhi.

“Isu ini sebenarnya bukan soal tidak setuju, cuma ada ketidakpuasan hati daripada segelintir pemilik tanah terhadap proses dan jumlah pampasan.

“Bagaimanapun, pampasan tetap dibayar dan 75 peratus telah diambil dan baki 25 peratus lagi (RM5 juta) akan disalurkan oleh pihak WCE sebaik mereka berpindah,” katanya.

Tambah beliau, jajaran WCE dari Banting ke Taiping, Perak amat penting bagi memenuhi keperluan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan selain berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi setempat.

“Bayangkan hanya 150 meter tertangguh sudah mengambil masa setahun, jadi keputusan hari ini akan membuka ruang kepada pelaksanaan projek ini diteruskan tanpa halangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |