Warden asrama dipenjara enam tahun liwat, cabul tujuh pelajar

21 hours ago 6

SEREMBAN – Seorang warden asrama pusat pengajian al-Quran dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan liwat terhadap tujuh pelajar lelaki.

Hakim Datin Surita Budin memutuskan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Khairi Fitri Baharom, 38, yang juga guru di pusat pengajian itu selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 25 Mei lalu.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh telah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki yang ketika kejadian berusia sembilan hingga 12 tahun.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Mengikut enam lagi pertuduhan, tertuduh telah didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 12 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di pusat pengajian berkenaan di Batu Kikir, Jempol, dan di sebuah rumah di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah dari Mac 2024 hingga Januari lalu.

Peguam, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie dalam rayuannya memaklumkan, anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu yang uzur dan memohon hukuman berbentuk penjara yang minimum.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dan Nurul Balkis Zunaidi kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan jenayah yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Menurutnya, tertuduh yang diberi amanah sebagai guru dan warden sepatutnya melindungi pelajarnya, namun mengambil kesempatan dengan melakukan jenayah yang jijik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |