Bekas juruwang didakwa salah guna pin Touch ‘n Go eWallet lebih RM500,000

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Seorang bekas juruwang pasar raya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan mesin terminal pin Touch ‘n Go eWallet lebih RM500,000.

Bagaimanapun tertuduh Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 28, mengaku tidak bersalah selepas 14 pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, tertuduh didakwa iaitu sebagai pekerja di sebuah pasar raya di Kepong di sini yang di amanahkan dengan mesin terminal pin milik pasar raya itu telah menyalahgunakan mesin tersebut dengan mengeluarkan nilai pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus nilai ke akaun Touch ‘n Go eWallet miliknya, antara 7 Januari 2023 hingga 9 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa atas 12 pertuduhan iaitu telah memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke Touch ‘n Go eWallet miliknya keluarga dan rakannya-rakannya dengan cara menebus nilai pin Touch ‘n G, yang mana tertuduh menjadikan terminal pin Touch ‘n Go yang diamanahkan kepadanya oleh pasar raya terbabit untuk mengeluarkan pin-pin Touch ‘n Go eWallet, antara Januari 2023 hingga Ogos 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akta Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Hakim Azrul Darus ke membenarkan tertuduh diikat RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali serta passport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan 18 November ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |