JAKARTA – Jumlah korban banjir dan tanah runtuh di rantau Asia melepasi 1,000 orang hari ini ketika Sri Lanka dan Indonesia yang paling teruk terjejas mengerahkan anggota tentera untuk membantu mangsa.
Sistem cuaca berasingan membawa hujan lebat berpanjangan ke seluruh pulau Sri Lanka dan sebahagian besar Sumatera, selatan Thailand dan utara Malaysia pada minggu lalu.
Sebahagian besar rantau tersebut kini berada dalam musim tengkujuh tetapi perubahan iklim menyebabkan hujan serta ribut yang lebih ekstrem.
Di Sumatera Utara, Presiden Prabowo Subianto yang tiba untuk meninjau situasi bencana berkata: “yang paling buruk telah berlalu, mudah-mudahan.”
“Keutamaan kerajaan sekarang ialah bagaimana untuk segera menghantar bantuan yang diperlukan,” tambahnya.
Prabowo menerima tekanan untuk mengisytiharkan darurat nasional sebagai tindak balas kepada banjir dan tanah runtuh di Indonesia yang setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 502 orang, dengan lebih 500 mangsa masih hilang.
Tidak seperti rakan sejawatannya di Sri Lanka, beliau tidak secara terbuka meminta bantuan antarabangsa.
Di Sri Lanka pula, kerajaan meminta bantuan antarabangsa dan menggunakan helikopter tentera untuk memindahkan penduduk yang terkandas akibat banjir dan tanah runtuh.
“Sekurang-kurangnya 340 orang terbunuh,” kata seorang pegawai Sri Lanka hari ini, dengan ramai lagi masih hilang.
Petang semalam, hujan reda di seluruh Sri Lanka, tetapi kawasan rendah di ibu kota masih digenangi air, manakala pihak berkuasa bersiap sedia untuk operasi bantuan besar-besaran.
Gelombang hujan turut menyebabkan banjir yang membunuh sekurang-kurangnya 176 orang di selatan Thailand, kata pihak berkuasa hari ini mengenai bencana banjir paling buruk menimpa negara itu dalam tempoh satu dekad. – AFP

1 hour ago
1

















































