‘Selepas ibu Pungky, bapa Diana pula meninggal dunia’

1 hour ago 1

SHAH ALAM – Diuji dengan kehilangan ibu dan bapa dalam tempoh dua minggu berturut-turut, kumpulan Mendua yang dianggotai Pungky, Diana dan Sasha tetap kuat meneruskan perjuangan dalam Gegar Vaganza musim ke-12.

Bertubi-tubi berdepan kematian insan tersayang dalam kehidupan, dua minggu lalu Pungky kehilangan ibunda tercintanya, manakala Khamis lalu Diana pula berduka atas pemergian bapanya.

Atas faktor itu, hanya Sasha dan Pungky berdua sahaja yang membuat persembahan di konsert minggu kelima GV12 yang berlangsung semalam.

Menurut Sasha, sudah dua kali di terpaksa membuat persembahan secara berdua dan perkara itu membuatkan dia ‘anxiety’ kerana sering ditimpa ujian berat.

“Sejujurnya ujian ini berlaku sangat pantas. Selepas Pungky, kemudian Diana pula. Belum sempat habis berduka atas kehilangan ibu Pungky, bapa Diana pula meninggal dunia.

“Tetapi saya harus kuat dan teruskan perjuangan di GV12 biarpun tanpa salah seorang anggota. Inilah tugas saya.

“Jika dua minggu lalu saya beritahu Diana tak apa walaupun kita berdua tetapi kita akan baik-baik sahaja. Dan minggu ini saya beritahu hal yang sama kepada Pungky pula,” katanya kepada Kosmo Online.

Ditanya bagaimana mereka melihat perjalanan Mendua dalam GV12, kata Sasha perjalanan mereka boleh dibaratkan gado-gado.

“Minggu pertama kita semua bergembira kerana dapat reunion. Kemudian minggu ketiga Pungky berduka atas kematian ibunya. Minggu keempat kembali bahagia dapat berduet bersama Kaer Azami. Kemudian minggu ini kembali berduka.

“Pelbagai rasa dan perasaan yang kami lalui. Ada manis, masam, masin semuanya berlaku dalam masa satu bulan,” jelasnya.

Masih terasa kehilangan ibunya tercinta, Pungky sempat memberikan kata-kata semangat buat Diana.

“Saya beritahu dia supaya dia kuat kerana kedua orang tua kami kini berada di tempat yang lebih baik. Mereka tidak menanggung sakit lagi.

“Tetapi dia ada beritahu saya air mata dia sudah habis. Dia minta kami menghiburkan dia,” kongsi.

Biarpun hanya berdua, tetapi Mendua tetap berjaya menawan hati juri dan mendapat tempat kedua menyampaikan lagu P.U.S.P.A daripada kumpulan ST12.

Minggu hadapan Mendua akan kembali bertiga dan akan membuat persembahan menerusi lagu Seindah Biasa nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza. KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |