Penyelidikan UniSZA kurangkan kebergantungan pertanian kepada bahan kimia

1 hour ago 1

PASIR PUTEH – Kerjasama strategik antara Fakulti Bio Sumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan sebuah syarikat, MSR Growth Sdn. Bhd. (MSR Growth) mampu mengurangkan kebergantungan hasil pertanian terhadap bahan kimia.

Dekan fakulti UniSZA, Prof. Dr. Hafizan Juahir berkata, kerjasama itu akan membuka ruang lebih luas kepada inovasi, pembangunan teknologi dan peluang keusahawanan terutamanya dalam bidang agroindustri.

Menurutnya, ia merangkumi penyelidikan bersama dalam mikrobiologi pertanian, penempatan pelajar untuk latihan industri, penganjuran bengkel, seminar berkaitan pemindahan ilmu selain perkhidmatan rundingan dan perkongsian kepakaran.

“Pemeteraian surat hasrat (LoI) bersama MSR Growth memberi nilai tambah besar kerana potensi yang boleh dibangunkan bersama amat luas dan mampu memberi impak kepada kedua-dua pihak.

“Kita menjalinkan kerjasama dengan syarikat bumiputera yang sebelum ini melaksanakan tanggungjawab sosial membangunkan petani termasuk petani asnaf dalam mengusahakan ladang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian LoI Antara UniSZA dan MSR Growth di sebuah resort di sini hari ini.

Pada majlis itu, Prof. Dr. Hafizan mewakili UniSZA mendatangani pemeteraian Lol bersama Pengarah MSR Growth, Muhammad Saifullah Ramli.

Sementara itu, Muhammad Saifullah memberitahu, syarikatnya kini memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi petani khususnya kebergantungan terhadap input kimia.

“Kebergantungan tinggi terhadap bahan kimia menyebabkan kos meningkat, kesuburan tanah merosot dan hasil tanaman tidak stabil.

“Kerjasama itu menjadi asas perjalanan lebih besar manfaatnya kerana UniSZA memiliki kepakaran penyelidikan, makmal, fasiliti dan penyelidik yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Menurutnya, produk yang dibangunkan MSR Growth berteraskan konsep organik termasuk formulasi probiotik serta nutrisi tanaman lebih selamat yang dapat menjadi alternatif baharu kepada para petani. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |