4 individu termasuk Rafidah dibebaskan dengan jaminan polis

1 hour ago 1

KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk selebriti dan aktivis, Rafidah Ibrahim yang ditahan kerana didakwa cuba mencetuskan kekecohan semasa Majlis Pecah Tanah di Kampung Sungai Baru dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Kita sudah beri jaminan semalam, penahanan dibuat kerana kita tidak mahu berlaku apa-apa kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan.

“Kadang-kadang bila sesuatu sudah berlaku barulah mahu bertindak, dan ketika itu mungkin sudah terlambat, jadi lebih baik kita ambil langkah pencegahan,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Katanya, tindakan polis itu diambil selepas pihaknya menerima risikan dan maklumat awal berhubung kemungkinan wujud ancaman terhadap ketenteraman awam sepanjang majlis tersebut berlangsung.

“Apa sahaja program dalam negara sama ada oleh kerajaan, pihak lain atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keselamatan dan ketenteraman awam tetap menjadi keutamaan kami.

“Jika ada apa-apa maklumat yang memberi kesan negatif kepada keselamatan awam, saya tidak akan berkompromi, polis akan ambil tindakan perlu untuk mencegah kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, walaupun semua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis, siasatan lanjut masih diteruskan.

Semalam, penahanan empat individu itu dibuat pada pukul 8.50 pagi selepas pihak polis menerima maklumat berhubung perhimpunan yang dijadualkan pada pukul 8.00 pagi di lokasi berkenaan..

Suspek ditahan terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 39 hingga 47 tahun.

Individu terbabit itu juga didakwa memuat naik seruan mengajak orang ramai turun protes di majlis berkenaan melalui TikTok pada 28 November lalu dengan tajuk Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |