2,000 peserta meriahkan Rubber Run 100

1 hour ago 1

PETALING JAYA – Seramai 2,000 peserta memeriahkan program larian anjuran Koperasi Lembaga Getah Malaysia Berhad (KOPGET) dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) sempena meraikan 100 tahun penyelidikan getah di Dataran Wawasan Putrajaya pada Sabtu lalu.

LGM dalam kenyataan berkata, penganjuran tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan besar LGM dalam memajukan industri getah serta memperkukuh peranannya di peringkat nasional.

“Selain itu, acara larian ini turut bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, di samping mengeratkan hubungan antara warga industri dan komuniti setempat.

“Seramai lebih 2,000 peserta dan pengunjung hadir menyertai kategori larian tiga, lima dan 10 kilometer sekali gus memeriahkan penganjuran Rubber Run 100 yang diadakan pada Sabtu lalu,” katanya hari ini.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai larian Rubber Run 100 pada Sabtu lalu.

Program larian tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Turut hadir, Pengerusi LGM, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir; Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Zairossani Mohd. Nor dan Pengerusi KOPGET, Muhd. Fandy Zainal Abidin.

Katanya, paling mencuri tumpuan apabila selebriti Alif Satar turut sama berlari bersama para peserta bagi menyemarakkan lagi suasana dan semangat larian.

“Larian ini turut diadakan sebagai simbolik kepada Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah, yang bakal berlangsung pada 8 dan 9 Disember ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC),” katanya.

Majlis turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik, termasuk lima buah motosikal elektrik (EV), televisyen 50 inci, iPad, telefon pintar, Gold Bar (Habib) serta pelbagai barangan elektrik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |