KUALA LUMPUR – Hoya Malaysia komited untuk meneruskan usaha bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dan kempen membantu masyarakat untuk tempoh jangka panjang bagi melindungi penglihatan generasi muda dan kanak-kanak khususnya.
Kempen, A Million Visions telah dilaksanakan di seluruh negara adalah antara inisiatif syarikat dan kini ia telah selamat disempurnakan.
Bersempena dengan Hari Penglihatan Sedunia 2025, acara selama seminggu ini menawarkan pemeriksaan mata percuma untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun di lebih 800 Kedai Optik Penjagaan Mata Profesional di seluruh negara.
Pengarah Urusan Hoya Malaysia, Lew Chee Quin berkata, melalui kempen ini, syarikat dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan ibu bapa serta penjaga tentang pentingnya setiap kanak-kanak berhak mendapat penglihatan yang jelas dan sihat.

Menurutnya kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peningkatan isu miopia dalam kalangan kanak-kanak serta kepentingan membuat pengesanan awal.
“Ibu bapa perlu mengambil langkah pertama dalam melindungi penglihatan anak-anak mereka dengan menjadikan pemeriksaan kesihatan mata profesional lebih mudah diakses, mampu milik dan tersedia secara meluas.
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk melihat dunia dengan jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ditemui dalam satu program perkongsian panel tentang perkembangan Myopia dalam kalangan kanak-kanak di sebuah sekolah swasta di sini baru-baru ini.
Chee Quin berkata, selama lebih 30 tahun, Hoya komited untuk membantu rakyat melihat dengan jelas kerana penglihatan bukan sekadar mata sahaja tetapi ia berkait juga dengan peluang, pendidikan, dan kualiti hidup.
“Melalui kempen ‘A Million Visions’, kami berhasrat untuk menegaskan kepentingan pemeriksaan mata awal dan meningkatkan kesedaran ini di seluruh negara.
Apabila kita mewujudkan kesedaran dan mengambil langkah awal bersama-sama, kita sebenarnya melindungi bukan sahaja penglihatan mereka, malah masa depan mereka juga,” jelasnya.

Sebagai penutup kempen, Hoya Malaysia telah mengetengahkan penerbitan kajian klinikal bertajuk Effectiveness of DIMS Lens in Slowing Myopia Progression among Malay Schoolchildren, yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kajian ini adalah yang pertama di Malaysia untuk menguji keberkesanan teknologi Defocus Incorporated Multiple Segments (D.I.M.S.) dalam kalangan murid sekolah berbangsa Melayu.
Ia dijalankan sebagai percubaan terkawal prospektif rawak di Kuala Lumpur dengan penglibatan seramai 42 murid sekolah rendah berumur 7 hingga 12 tahun selama tempoh 12 bulan.
Peserta dibahagikan secara rawak untuk memakai sama ada kanta MiYOSMART dengan teknologi D.I.M.S. atau kanta penglihatan tunggal konvensional untuk kegunaan sepenuh masa.
Kajian menunjukkan bahawa kanta MiYOSMART sangat berkesan untuk kanak-kanak Malaysia.
Selepas tempoh setahun, kanak-kanak yang memakai kanta D.I.M.S. mengalami perubahan miopia sebanyak –0.16 D dan peningkatan panjang paksi mata sebanyak +0.07 mm, menunjukkan perkembangan yang jauh lebih perlahan berbanding kanak-kanak yang memakai kanta penglihatan tunggal.
Secara keseluruhan, keputusan menunjukkan purata pengurangan 65 peratus dalam perkembangan miopia.
Kanta ini juga memberikan penglihatan yang jelas dan stabil, dan kanak-kanak menyesuaikan diri dengan selesa untuk pemakaian harian sepenuh masa sekitar 16 jam sehari.
Dibangunkan dengan kerjasama The Hong Kong Polytechnic University, kanta MiYOSMART dengan teknologi D.I.M.S. disokong oleh penyelidikan antarabangsa yang meluas.
Kajian Malaysia ini memberikan pengesahan tempatan yang penting, mengukuhkan keberkesanan pendekatan ini untuk kanak-kanak Malaysia. -KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1

















































