BEIJING – Seorang usahawan permainan video di China memfailkan saman bagi menuntut wang sebanyak 300 juta yuan (RM175 juta) daripada bekas teman wanitanya dalam pertikaian yang mencetuskan kemarahan di media sosial, lapor laman berita VNExpress semalam.
Pengasas permainan video Fantasy Westward Journey, Xu Bo tinggal bersama bekas kekasihnya, Tang Jing selama 14 tahun tanpa berkahwin.
Pemfailan mahkamah mengatakan bahawa Xu telah memindahkan 819 juta yuan (RM480 juta) kepada Tang antara tahun 2012 hingga 2018.
Xu mendakwa, Tang telah memulangkan kira-kira 515 juta yuan (RM300 juta) tetapi menurutnya, kira-kira 300 juta yuan masih belum dibayar. Justeru, dia memfailkan saman pada tahun 2024.
Awal bulan ini, Tang menulis hantaran online mengatakan bahawa dana itu dibelanjakan untuk menyokong apa yang digambarkan sebagai ‘keluarga besar dengan 300 anak’. Xu didakwa sebagai bapa kepada kanak-kanak itu.
“Sebahagian besar wang yang saya terima digunakan untuk kos sara hidup harian kami dalam tempoh itu,” kata Tang.
Tang berkata, mahkamah menolak tuntutan pembayaran balik Xu dan wanita itu kini memelihara 11 anak mereka.
Xu sebelum ini mengiklankan di media sosial untuk mendapatkan ramai teman wanita, dengan mengatakan matlamatnya adalah untuk menjadi bapa kepada sekurang-kurangnya 50 anak lelaki yang berkualiti tinggi.
Kes itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial di China dengan ramai yang mengecam perbuatan tersebut.
“Bolehkah sesiapa menghentikannya? Hanya kerana dia mempunyai kekayaan, adakah itu bermakna dia boleh membesarkan anak-anak seperti ternakan?” tulis seorang pengguna media sosial.
“Kanak-kanak bukan serangga. Adakah dia menjalankan sejenis eksperimen pembiakan manusia?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

1 hour ago
1

















































