Inkues Zara Qairina: Sama ada lompat atau hayunkan diri

10 hours ago 7

KOTA KINABALU – Pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu memberitahu bahawa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina berkemungkinan melompat dari tepi (luar) penghadang konkrit (concrete ledge) atau menghayunkan badannya (swing over).

Perkara itu dinyatakan ketika menjawab soalan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Jabatan Peguam Negara, Datuk Badius Zaman Ahmad yang membantu Mahkamah Koroner pada prosiding inkues yang memasuki hari kedua.

Badius Zaman: Boleh sahkan si mati melompat atau menghayunkan diri?
Dr. Hiu: Berdasarkan maklumat mengenai posisi dan lokasi si mati pada 16 Julai lalu, dia sama ada melompat atau menghayunkan diri.

Pada prosiding hari ini, pakar patologi itu turut membuat demonstrasi bagi menyokong keterangannya. Turut tunjukkan dan disahkan oleh Dr. Hiu ialah lebih kurang 30 keping gambar lawatan ke lokasi kejadian dan lakonan semula kejadian.

Lakonan semula itu dilakukan dengan bantuan pegawai perubatan Jabatan Forensik HQE, Dr. Lau Cheng yang mempunyai ketinggian yang hampir sama dengan Zara Qairina.

“Walaupun perbezaan ketinggian antara Dr. Cheng (152cm) dan si mati adalah 2 sentimeter (Zara Qairina 154cm) tetapi Dr. Cheng senang untuk memanjat ke tepi (luar) penghadang konkrit dan berdiri di tebing konkrit itu. Di bahagian atas kepala ada palang besi (suspended grill) yang boleh dipegang ketika berdiri di tebing konkrit itu.

“Kalau dalam posisi duduk dan kemudiannya terjatuh, seseorang itu akan jatuh ke hadapan dan mendarat kepala dahulu sama ada di dalam longkang atau berhampiran longkang. Kalau dalam keadaan berdiri dan terjatuh, badan akan berpusing dan kepala akan jatuh terlebih dahulu sama ada dalam longkang atau berhampiran longkang.

“Terdapat jarak di antara kaki kiri Zara Qairina ketika ditemukan pada 16 Julai lalu dan longkang. Untuk berada di lokasi ia ditemukan dengan kaki mendarat dahulu, seseorang perlu melompat dari embok penghadang atau bergayut sambal memegang palang besi sebelum melonjakkan badan ke hadapan,” kata Dr. Hiu.

Tambahnya, kecederaan paling teruk adalah pada kaki kiri menunjukkan impak pertama apabila jatuh.

Semalam, Dr. Hiu menyatakan lakonan semula kejadian menunjukkan Zara Qairina mendarat dengan kaki kiri terlebih dahulu diikuti rapat oleh kaki kanan. Selepas hentakan, remaja itu terjatuh ke belakang terutamanya pada bahagian kiri badan.

Ia menyebabkan kecederaan lebih teruk pada tumit kiri dan tulang kaki kiri (comminuted fracture of the left calcaneum, comminuted fracture and oblique fracture of the distal left tibia).

Comminuted fracture adalah keadaan yang mana tulang patah tiga atau lebih. Merujuk kepada kes ini, Dr. Hiu menyatakan tulang kaki kiri Zara Qairina patah menjadi bahagian lebih kecil.

Terdahulu, Dr. Hiu menyatakan walaupun Zara Qairina lebih tinggi, ketinggian tembok penghadang adalah tiga perempat tubuh remaja itu.

“(Melihat kepada) ketinggian tembok penghadang dan tinggi si mati, adalah tidak mungkin akan jatuh secara tidak sengaja atau terjatuh akibat ditolak. Tidak mungkin akan terjatuh tidak kira sama ada akan ditolak dari hadapan atau dari belakang kerana dihalang oleh tembok,”katanya.

Terdahulu, Dr. Hiu `menyangkal’ dakwaan yang tular menyatakan Zara Qairina telah dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum menemui ajalnya.

Badius Zaman: Semasa lawatan ke asrama (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan), ada tak Doktor jumpa mesin basuh?
Dr. Hiu: Ada. Di tingkat bawah, bertentangan dengan tangga.

Badius Zaman: Mesin basuh yang macam mana?
Dr. Hiu: Mesin basuh domestik, bukan jenis industri.

Badius Zaman: Ada kemungkinan tak Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh itu?
Dr. Hiu: Saya tidak periksa saiz drum (mesin basuh) tetapi saya diberitahu berat si mati adalah 53 kilogram (kg). Saya tidak pasti (sama ada) seseorang dengan berat 53kg boleh muat dalam mesin basuh tersebut tetapi saya fikir, mesin basuh itu tidak boleh beroperasi dengan beban muatan 53kg.

Prosiding inkues bersambung petang ini.

Read Entire Article
Pertanian | | | |