PETALING JAYA – Kisah persengketaan sesama jiran yang tular di media sosial menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berakhir dengan episod manis apabila mereka saling bermaaf-maafan.
Berdasarkan video dimuat naik seorang pengguna TikTok Abel yang merupakan jiran mereka, ia memaparkan dua wanita yang terlibat dalam pergaduhan sebelum ini berpelukan antara satu sama lain dan mereka juga menangis.
Selain mereka, anak kepada wanita itu juga bersalam dan berpelukan serta menangis semasa sesi berkenaan.
Abel menerusi kapsyen berkata, susulan isu pergaduhan itu, mereka sepakat bermaaf-maafan atas perselisihan yang telah berlaku.
“Assalamualaikum, saya Abel (jiran kanan). Kata sepakat telah dilakukan di majlis kedamaian antara kami bertiga. Saya sendiri Abel ingin memohon maaf sekiranya ada berlaku perselisihan faham dan segala salah silap daripada pihak saya juga.
“Setiap manusia melakukan kesalahan termasuk diri sendiri, maka ambil lah iktibar dengan apa yang telah terjadi. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terima kasih semua,” katanya pada kapsyen video.
Perkongsian itu turut disambut baik oleh pengguna media sosial dan mereka bersyukur apabila kesemua yang terlibat telah berbaik antara satu sama lain.
“Kadang-kadang perlunya netizen untuk selesaikan keegoan dan kekhilafan. Manusia juga memerlukan manusia lain untuk menegur kesilapan diri,” komen pengguna TikTok Ziera.
“Maknanya yang ini episod akhir dah lah. Alhamdulillah penamat yang terbaik,” kata Zainuddin Mat Zin.
“Masa depa (mereka) bergaduh, dalam hati sedihnya hidup berjiran. Cuma mampu berdoa yang baik-baik. Bila keluar video ni, rasa seronok. Berbaiklah sesama jiran, kadang-kadang amarah itu cuma ego kita,” Bonda Sayf.
Sebelum ini tular rakaman video CCTV pergaduhan di satu perumahan di Bukit Gambir, Johor dengan penggunaan perkakas antaranya penyodok sampah, penyapu dan gayung dalam insiden tersebut.
Susulan itu, polis menjalankan siasatan berhubung pergaduhan yang melibatkan lima wanita yang mana kejadian itu berlaku pukul 7.39 pagi. – KOSMO! ONLINE
@is8idfckno_ Assalamualaikum, saya Abel (Jiran kanan) . Kata sepakat telah dilakukan di majlis kedamaian antara kami bertiga dan saya sendiri Abel ingin memohon maaf sekiranya ada berlaku perselisihan faham dan segala salah silap daripada pihak saya juga. Setiap manusia melakukan kesalahan termasuk diri sendiri, maka ambillah iktibar dgn apa yg telah terjadi. Setiap yg berlaku ada hikmahnya. Terima kasih semua. @HADIKAISY_05 #fyp ♬ sonido original – L✨