KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki yang mencederakan bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dalam insiden di Kampung Sungai Baru, diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam oleh Mahkamah Majistret di sini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Muhammad Najib Ahmad yang mewakili pesalah juvana berusia 16 tahun itu ketika ditemui selepas prosiding secara tertutup di hadapan Majistret Nurfarahain Roslan di sini hari ini.
Menurut peguam tersebut, tempoh khidmat masyarakat selama 100 jam itu perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan pada bila-bila masa dengan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Semasa prosiding pihak pembelaan merayu agar mahkamah memberikan hukuman berbentuk amaran namun pendakwaan memohon supaya penama (remaja berusia 16 tahun) itu dikenakan khidmat masyarakat,” kata peguam itu.
Sementara itu ketika ditanya apakah nasihat Majistret terhadap remaja itu sebelum perintah khidmat masyarakat tersebut, peguam itu memaklumkan Majistret menasihatkan supaya penama tidak mengulangi kesalahan itu lagi.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan Sulizmie Affendy dalam menjalankan kewajipannya sebagai pegawai pemerintah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru, di sini antara pukul 10.50 hingga 11.14 pagi, 11 September 2025 mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum ini seramai enam individu lain yang terlibat dalam insiden sama didenda RM3,500
di Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang, iaitu menentang proses notis pengosongan walaupun telah diarahkan bersurai mengikut undang-undang pada waktu, lokasi dan tarikh sama.
Pada 11 September lalu, media melaporkan beberapa individu ditahan berhubung kecederaan yang dialami Sulizmie Affendy ketika berlaku rempuhan oleh sekumpulan individu di Kampung Sungai Baru.
Beliau dilaporkan mengalami kecederaan pada kepala akibat terkena objek yang dibaling oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di kawasan berkenaan.
Operasi dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































