Rangka manusia: Laporan kimia, forensik siap dua bulan

3 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Polis sedang melengkapkan laporan kimia, perubatan dan forensik terhadap enam rangka manusia yang ditemui di dalam sebuah rumah yang terbakar di Kangkar Pulai, Skudai, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan itu akan diperolehi dalam tempoh sekurang-kurangnya satu atau sehingga dua bulan lagi.

“Sehingga hari ini hanya dua suspek telah ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru. Setakat ini tidak ada tangkapan lain. Hanya dua orang itu sahaja yang mendapat arahan untuk dituduh. Mengenai motif, saya tidak akan dedahkan dan biar ia didedahkan di mahkamah nanti. Hubungan dua mangsa adalah sebagai rakan, mereka kawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor antara Deputi Komisioner Polis Abdul Latif Mehat dan Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, dua beradik R. Utes, 36, dan adiknya, R. Arasan, 32, didakwa membunuh seorang lelaki yang merupakan salah satu enam rangka manusia yang dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai di sini, tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabila Rizam memandang kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Semalam, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan suami kepada seorang daripada mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.

Susulan penemuan itu, beliau berkata, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang telah dijumpai di rumah yang terletak berhampiran sebuah kuil terbiar itu.

Katanya, siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |