KUALA LUMPUR – Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM550,000 kepada ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Perkara itu dimaklumkan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard.
Menurut peguam itu, selain permohonan mengetepi keputusan mahkamah, pihaknya juga turut memfailkan permohonan bagi penangguhan pembayaran ganti rugi.
“Chegubard hanya mengetahui saman tersebut oleh pihak media mengenai penghakiman pada 29 Januari lepas. Chegubard tidak pernah menerima dan melihat sebarang saman atau writ saman tersebut. Kami dapati saman itu diterima oleh individu yang tidak dikenali.
“Kita dapati perbicaraan kes saman itu berjalan sebelah pihak yang mana Chegubard dan peguamnya tidak hadir dan Farhash tidak diperiksa balas oleh peguam,” kata peguam itu ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Muhammad Rafique, pempengaruh Nurpais Ismail yang merupakan defendan kedua dalam kes saman itu juga akan memfailkan permohonan yang sama menerusi peguamnya.
Sebelum ini, pada 29 Januari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Chegubard dan pempengaruh Nurpais Ismail membayar ganti rugi sebanyak RM550,000 kepada Farhash selepas membenarkan tuntutan saman fitnah ahli perniagaan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi mendapati kenyataan berkenaan bersifat fitnah terhadap plaintif dan maksud fitnah itu adalah serius, merosakkan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Farhash memfailkan tuntutan saman terhadap dua defendan itu pada 26 Mei 2025, namun tiada defendan yang hadir ke mahkamah atau memfailkan penyataan pembelaan, dan Farhash satu-satunya saksi yang memberikan keterangan pada perbicaraan pada 12 Januari tahun ini.
Plaintif memfailkan tuntutan itu atas dakwaan bahawa defendan pertama (Chegubard) telah membuat dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya semasa temu bual yang dijalankan oleh defendan kedua (Nurpais) pada 7 Mei 2025, yang dimuat naik ke akaun YouTube defendan kedua.
Kenyataan fitnah itu, antara lain, menyiratkan bahawa plaintif menggunakan kedudukannya untuk mengawal dan memanipulasi syarikat-syarikat besar. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2

















































