‘Kami tidak tahu kenapa abang sanggup buat ibu macam itu’

3 hours ago 2

ALOR SETAR – “Kami adik-beradik tidak tahu kenapa dia (suspek) sanggup buat macam itu, sampai sekarang tidak tahu apa motif dia. Apapun kami serahkan kepada undang-undang supaya dia dikenakan hukuman setimpal”.

Demikian kata anak ketiga kepada eksekutif bank, Zahrullail Basir, 52, yang maut dibunuh dalam kejadian di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara, di sini pada kelmarin.

Menurut pemuda berusia 23 tahun itu, dia marah dengan apa yang berlaku, namun reda dengan ketentuan tersebut.

Pada masa sama, katanya, dia perlu sedar bahawa dia dan adik-beradik lain perlu menerima hakikat untuk meneruskan kehidupan tanpa ibu tersayang.

“Saya dan abang akan memikul tanggungjawab untuk menjaga tiga adik kami yang berusia lapan, 13 dan 18 tahun. Abang bekerja di Pulau Pinang dan saya pula masih belajar di universiti.

“Sepanjang cuti semester nanti, saya akan menjaga adik-adik di sini sehingga Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

Menurut penuntut sebuah universiti di selatan tanah air itu, dia menerima berita tentang kematian ibunya pada pagi Isnin lalu sebelum bergegas pulang.

“Abang menelefon saya beritahu tentang kejadian kira-kira pukul 8 pagi. Kami memang tidak menjangkakan kejadian seperti ini. Abang (suspek) ini jarang pulang ke rumah dan tiba-tiba pulang hari itu,” ujarnya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah pada Oktober tahun lepas ketika cuti semester.

Menurutnya, sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tentunya menyedihkan kerana ketiadaan ibu mereka itu.

“Insya-Allah kami adik-beradik akan berusaha kuat dengan sokongan antara satu sama lain dan ahli keluarga yang prihatin,” katanya.

Jenazah ibunya itu selamat dikebumikan di Masjid Al Aziz Tanjung Bendahara, di sini pada pukul 3 petang semalam.

Akhbar ini kelmarin melaporkan mangsa, Zahrullail ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman serta kesan luka dan lebam pada anggota badannya dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi di rumahnya itu.

Susulan itu, anak sulungnya yang berusia 29 kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |