‘Azil mungkin takkan bernikah, jodoh bidadari di syurga nanti’

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Berlapang dada, pelakon Zarina Zainuddin reda dengan ketentuan bahawa anak istimewanya, Azil tidak mungkin dapat mendirikan rumah tangga.

Begitupun, Zarina berkata, dia pasti Azil atau nama lengkapnya, Muhammad Razil Azrai Abu Raihan yang kini berusia 29 tahun akan bertemu bidadari di syurga.

“Biarlah menjadi kenangan gambar ini. Azil tidak mungkin akan bernikah. Anak syurgaku ini tak boleh bercakap. Jodohnya nanti di syurga bersama bidadari.

“Foto ini kuabadikan di Malang, Indonesia. Semasa sesi bergambar, Azil bagus sangat, tidak ada sebarang karenah.

“Ikut saja bila dipakaikan persalinan Jawa satu persatu,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.

Menerusi perkongsian tersebut, Zarina, 56, memuat naik gambar puteranya juga anak autisme menggayakan baju pengantin Jawa.

Gambar serta solekan turut disempurnakan jurufoto serta penata rias profesional di sebuah studio di negara itu.

Daripada tanda pagar yang ditulis, perkongsian dibuat adalah antara cara untuk menyebarkan kesedaran masyarakat mengenai autisme.

Pada hantaran lain, Akui Zarina atau Nur Zarina Mohd. Zainuddin lagi, biarlah segala-gala perkara yang diimpikan buat Azil disimpan di dalam hati.

“Banyak nak kuluahkan tapi kusimpan kata-kata kerana kutahu Allah Maha Baik,” ujarnya.

Perkongsian tersebut meraih maklum balas netizen yang menyifatkan Azil merupakan lelaki kacak, selain mendoakan pemuda terbabit bertemu bidadari di syurga.

“Kacaknya anak syurga awak. Lebih kacak sebab dia anak syurga. Di sana nanti dia antara hamba yang tidak perlu disoal untuk berlari di syurga Allah SWT,” kata seorang pemilik akaun Instagram.

Azil juga hyper autisme mempunyai kembar iaitu Azal atau Muhammad Raizal Azrai, namun Azal dikategorikan sebagai mild autisme.

Selain kembar terbabit, perkahwinan Zarina dengan Datuk Seri Raihan Wan Jaafar pada 13 Julai 1993 turut diserikan dua lagi anak lelaki, Muhammad Adam Azrai dan Muhammad Naim Azrai. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |