‘Saya tukar alamat mengundi kerana YB Helmy bantu semua’

2 hours ago 2

MELAKA – Demi memastikan wakil rakyat yang diyakini terus berkhidmat, seorang wanita mengambil keputusan menukar alamat tempat mengundinya sebagai tanda sokongan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.

Ibu kepada dua anak, Lee Kim Choo, 54, berkata, dia mula mengikuti perkembangan wakil rakyat itu sejak beberapa tahun lalu menerusi platform media sosial yang memaparkan aktiviti beliau turun padang bagi bertemu masyarakat.

Menurutnya, pendekatan Mohd. Noor Helmy yang sentiasa menyantuni masyarakat tanpa mengira bangsa dan latar belakang menjadi faktor utama dia memberikan sokongan berterusan.

“Saya sokong YB (Yang Berhormat) Helmy kerana beliau membantu semua orang tanpa mengira latar belakang.

“Saya suka caranya. Kalau semua YB di Malaysia boleh jadi seperti beliau, sudah tentu negara akan jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh, di sini hari ini.

Kim Choo yang bekerja sebagai kerani memberitahu, niat untuk menukar alamat tempat mengundi telah lama terdetik, namun sebelum ini dia tidak mengetahui saluran dan prosedur yang betul.

“Bulan lepas ada yang ajar cara-cara menukar tempat mengundi dan hari ini saya hadir untuk selesaikan urusan tersebut.

“Saya rasa lega dapat berbuat demikian dan berharap ia dapat memberi suntikan semangat kepada YB Helmy untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Noor Helmy ketika ditemui menyifatkan sokongan yang diterima sebagai satu penghargaan bermakna dan mengakui terharu dengan kepercayaan rakyat terhadap khidmatnya.

Menurutnya, segala usaha yang dilakukan selama ini adalah sebahagian daripada amanah sebagai wakil rakyat, selain didokong kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata, menerusi pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong pada tahun lalu, seramai 50 individu direkodkan telah menukar alamat kediaman ke kawasan tersebut melalui kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka yang dibuka sepanjang program berkenaan.

“Jumlah itu berkemungkinan bertambah sehingga kini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |