Kerajaan Sarawak mahu bayar ‘lump sum’ RM1.8 bilion ambil alih Pelabuhan Bintulu

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Proses mengambil alih Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan dengan nilai RM1.8 bilion tidak menjejaskan kedudukan fiskal negeri itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan Sarawak mempunyai keupayaan untuk membuat bayaran tersebut, malah bersetuju membayarnya secara sekali gus.

“Sama ada kerajaan Sarawak mampu atau tidak (membayar), saya rasa Yang Berhormat tidak perlu bimbang. Kerajaan Sarawak tak bimbang (kerana) kerajaan Sarawak memang ada kemampuan untuk membayar jumlah tersebut.

“Malah apa yang dipersetujui ini adalah satu jumlah yang telah pun dipersetujui antara Perdana Menteri dan Premier Sarawak setelah beberapa siri perundingan.

“Jadi saya yakin dengan kemampuan kewangan kerajaan Sarawak untuk membayar, malah mereka hendak bayar secara `lump sum’ kepada Kerajaan Persekutuan dan ini kita alu-alukan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) sama ada pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan akan menjejaskan kedudukan fiskal negeri itu.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, perjanjian pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan dilakukan secara telus tanpa ada apa-apa untuk disembunyikan.

Menurut beliau, ia merupakan suatu perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan, maka terpulang kepada kedua-dua kerajaan sama ada mahu mendedahkan maklumat perjanjian itu.

“Bagi pihak Kementerian Pengangkutan, kita tiada masalah, tak ada apa-apa yang perlu kita sembunyikan kerana ia berjalan atas dasar yang cukup telus,” katanya.

Menjawab soalan asal Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu), Anthony Loke berkata, Pelabuhan Bintulu pada masa ini masih berstatus Pelabuhan Persekutuan dan berada di bawah kawal selia Lembaga Pelabuhan Bintulu sehingga Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859] dikuatkuasakan.

Kata beliau, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak berada di peringkat terakhir dalam proses menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan telah menentukan nilai bayaran dan kaedah bayaran yang perlu diguna pakai oleh kerajaan Sarawak untuk tujuan pengambilan Pelabuhan Bintulu, namun Kerajaan Persekutuan masih menunggu pengesahan terakhir daripada kerajaan Sarawak.

“Sukacita saya ingin maklumkan kepada Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri secara prinsipnya telah pun bersetuju dengan nilai RM1.8 bilion untuk tujuan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |