KUALA LUMPUR – “Saya tak tahu maksud sebenar kacip itu apa, yang saya faham seperti perangai ‘gila-gila’.”
Demikian respons penyanyi dan aktivis, Datin Seri Heliza Helmi yang enggan mengambil serius dengan gelaran kacip yang diberikan netizen kepadanya meskipun perkara tersebut dikecam beberapa individu kerana membawa maksud negatif iaitu dikaitkan dengan penggunaan bahan terlarang.
Bagi Heliza, 39, dia hanya menganggap gelaran yang diberikan itu sekadar gurauan dengan netizen dalam media sosial.
“Sebenarnya kami tidak kisah digelar sebegitu sebab untuk fahaman kami, kacip itu macam ‘masuk air’ dan menyeronokkan.
“Mungkin kena rujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk maksud sebenar.
“Kami fikir yang positif sahaja, sebenarnya lebih kepada untuk menceriakan suasana dan generasi muda dalam media sosial,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media program amal Malam Untukmu Gaza, di sini semalam.
Katanya, ‘kerancakan’ mereka dalam media sosial itu juga tanpa sedar dapat menyebarkan tentang kezaliman rejim Zionis dan bumi Gaza kepada generasi muda.
“Media sosial seperti Threads boleh dikatakan seperti ruang untuk rehatkan sekejap minda tetapi dalam masa sama membina ukhuwah bersama generasi muda.
“Bila sudah dekati, baru kita akan kongsi benda berat tentang Palestin. Risau kalau terus borak isu besar, takut mereka tak mahu baca.
“Cuma, istilah kacip itu bukan kami yang letak. Minta maaflah kalau ada terlebih apa-apa, mungkin minum air masin banyak sangat,” ujarnya.
Mengulas mengenai ramai pihak mempertikai mereka dilihat sentiasa gembira sejak pulang ke tanah air pada 8 September lalu, dia berkata sikap sebegitu yang diterapkan dalam diri sebelum ini terutama ketika menjadi tahan tentera Zionis.
“Bila berhadapan dengan tentera Zionis, memang perlu kuat dan semangat itu kami pegang sehingga balik ke Malaysia sebab perjuangan ini masih panjang.
“Kalau menangis atau tunjuk lemah, macam mana nak cerita tentang perjuangan.
“Cuma, syukur Allah SWT beri kekuatan luar biasa kepada semua delegasi Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) kekuatan, tak sempat berehat. Semua pergi ke macam-maca negeri dan terus sebarkan cerita tentang Palestin,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Heliza dan adiknya, Hazwani Helmi serta aktivis kemanusiaan, Musa Nuwayri merupakan selebriti yang bakal memeriahkan Malam Untukmu Gaza di Kedai Emas Sri Semantan Cawangan Jengka, Pahang, pada Jumaat ini.
Program berkonsepkan solidariti dan kesedaran awam ini diadakan bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Gaza yang terus berdepan penderitaan akibat kekejaman rejim Zionis.
Terdahulu, Heliza merupakan antara yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza bersama 22 lagi aktivis dari Malaysia.
Selain Heliza, antara aktivis wanita lain yang ikut sama dalam misi GSF ialah adiknya Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Farah Lee, Ardell Aryana serta Ilya Balqis. – KOSMO! ONLINE