PETALING JAYA – Pelakon Syarul Ezani mendedahkan dirinya sering menjadi sasaran seorang pengintip (stalker) wanita sehingga beberapa kali mengakibatkan kekecohan tidak terjangka di tempat awam.
Bagaimanapun, Syarul, 34, atau nama sebenarnya, Syarul Ezani Mohamed Ezzuden yakin wanita berkenaan mempunyai masalah tertentu selain berharap keluarganya dapat membantu sebelum keadaan bertambah serius.
“Ya, saya ada stalker, kalau ada acara atau ‘meet and great’ dia akan muncul dan selalunya akan ada kekecohan berlaku.
“Sudah semestinya saya anxiety, tapi saya faham dia pun manusia juga cuma kita tidak tahu cerita dibelakangnya. Mungkin dia perlukan bantuan.
“Saya tak tahu apa yang ada dalam hati dan fikiran dia, tapi saya rasa keadaannya tidak sihat dan perlu dapatkan bantuan. Saya harap keluarganya juga membantu sebelum keeadaan lebih teruk,” katanya kepada Kosmo! Online semasa penggambaran filem Akad Yang Hilang baru-baru ini.
Menceritakan lanjut, pelakon filem KAMI The Movie itu menjelaskan wanita berkenaan sering mengekori pergerakannya melalui perkongsian media sosialnya.
“Tempat yang saya pergi dan muat naik (dalam media sosial) dia akan muncul di situ. Kadang-kadang walaupun saya sebenarnya dah tak ada di tempat itu, dia tetap datang.
“Bila bercakap tentang kekecohan, perkara tersebut berlaku di hadapan orang ramai, dia akan menjerit serta buat kecoh.
“Saya sangat hargai dan sayang semua peminat, saya berada di tahap ini pun kerana mereka. Kebanyakan peminat sangat baik, sopan dan pemalu tapi bila ada seseorang yang bertindak agresif dan keterlaluan, memang sukar untuk saya terima,” jelasnya.
Malah, Syarul juga memaklumkan insiden terbabit bukan sahaja memalukan dirinya, malah menjejaskan kelancaran acara yang dihadirinya.
“Saya tak tahu apa yang ada dalam hati atau fikiran dia tapi keadaan tersebut memalukan semua pihak dan memalukan saya juga.
“Kami datang mempromosikan acara tapi bila perkara begini berlaku, tumpuan jadi beralih kepada hal lain sehingga saya terpaksa beredar awal.
“Situasi seperti itu memang tidak menyenangkan. Mujurlah setakat ini, alhamdulillah ada beberapa kejadian yang kami sempat elak disebabkan adanya kawalan keselamatan, “ujarnya.
Disebabkan itu, Syarul mengambil langkah berjaga-jaga termasuk tidak mendedahkan lokasi semasa di media sosial serta memperketat kawalan keselamatan ketika menghadiri program rasmi.
“Saya usahakanlah apa sahaja yang termampu, pengurus saya pun sama melakukan apa yang sebolehnya sekurang-kuranngya dari segi keselamatan.
“Dalam media sosial, saya jarang kemas kini tentang lokasi saya atau di mana saya berada. Secara umumnya bila ada acara atau program, contohnya bersama Astro, mereka akan bantu menyelaras bagi memastikan keselamatan saya terjaga.
“Tanpa bantuan mereka, memang agak menakutkan juga. Tapi sudah tentu langkah-langkah keselamatan ada diambil,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE