PETALING JAYA – Terus cemerlang, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) menjadi filem animasi pilihan ramai apabila meraih RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam.
Angka ini memecahkan rekod kutipan naskhah pertama Ejen Ali pada 2019, sekali gus meletakkan EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam tempoh paling singkat.
Lebih istimewa apabila naskhah ini turut mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan di pawagam tempatan sepanjang Mei termasuk Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch.
Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation yang juga pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin, bersyukur apabila filem berkenaan mendapat sokongan padu penonton daripada pelbagai peringkat usia.
“Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali, bukan sekadar membawa animasi Malaysia setaraf dengan naskhah antarabangsa.
“Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan jadi semangat untuk kami terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali,” katanya.

Setakat ini, lebih dua juta penonton dilaporkan sudah ke pawagam untuk menonton filem animasi berkisar ejen perisikan remaja terbitan Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) itu.
Sejak diperkenalkan pada 2016, Ejen Ali berkembang menjadi fenomena dengan tiga musim siri animasi dan filem sulung yang ditayangkan pada 2019, sebelum diikuti sekuel tahun ini.
EATM2 memaparkan perjalanan Ali yang dipilih sebagai perintis bagi misi berisiko tinggi di bawah SATRIA, program elit yang menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Namun, misi itu menjadi kompleks apabila Rizwan memohon bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik siri ancaman yang menggugat keselamatan Cyberaya. – KOSMO! ONLINE