QUETTA, Pakistan – Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam tiga serangan di Pakistan semalam, menurut pegawai, termasuk 14 mangsa yang maut selepas seorang pengebom berani mati menyasarkan satu perhimpunan politik di wilayah barat daya Balochistan.
Menurut dua pegawai yang enggan mendedahkan nama mereka, sebanyak 40 orang lagi cedera dalam letupan itu yang berlaku di kawasan tempat letak kereta sebuah stadium di ibu negeri wilayah tersebut, Quetta.
Ketika itu, ratusan ahli Parti Nasional Balochistan (BNP) berkumpul, kata mereka.
Satu lagi serangan berlaku di Balochistan, berhampiran sempadan Iran, meragut lima nyawa.
Seramai enam anggota tentera terbunuh selepas serangan berani mati berlaku di pangkalan mereka di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Sementara itu, di bahagian lain Balochistan semalam, lima anggota separa tentera terbunuh dan empat lagi cedera apabila bom buatan sendiri meletup ketika konvoi mereka melalui sebuah daerah berhampiran sempadan Iran, kata seorang pegawai tempatan kanan kepada AFP.
Setakat ini, tiada kumpulan segera mengaku bertanggungjawab melakukan semua serangan tersebut.
Balochistan ialah wilayah terbesar dan terkaya dengan sumber di Pakistan, namun ia juga yang termiskin dan sering berada di kedudukan paling bawah dalam penilaian pembangunan manusia.
BNP berkempen atas dasar menuntut lebih banyak hak serta pelaburan ekonomi untuk meningkatkan kesejahteraan etnik Baloch.
Sejak 2014, China telah banyak melabur dalam pembinaan projek jalan raya dan infrastruktur yang dikaitkan dengan inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan.’
Namun, ramai penduduk Baloch berkata, manfaatnya hanya dinikmati oleh pihak luar.
Pasukan keselamatan Pakistan telah berperang menentang pemberontakan di wilayah itu lebih sedekad dan pada tahun 2024, keganasan meningkat mendadak dengan 782 orang terbunuh. – AFP