Exco Selangor pula diugut sebar video lucah

4 hours ago 4

PETALING JAYA – Selepas beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan menerima ugutan berkait video lucah palsu, kini giliran Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi pula mendakwa menjadi mangsa taktik sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu berkata, beliau diugut dengan penyebaran video lucah yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang disifatkannya sebagai cubaan menjatuhkan imej dan kredibiliti.

Beliau berkata, beliau menerima e-mel berbaur ugutan daripada pihak tidak dikenali dua hari lalu yang memaparkan tangkap layar video palsu menyerupai wajahnya.

“Dalam emel tersebut, saya turut diugut agar membayar wang sebanyak $AS100,000 sebagai timbal balas bagi mengelakkan penyebaran video tersebut.

“Saya ingin menegaskan bahawa ugutan seumpama ini adalah satu perbuatan jenayah yang sangat serius serta bertujuan mengancam keselamatan dan menjatuhkan maruah saya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Justeru itu Mohd Najwan berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar siasatan lanjut dijalankan berhubung penyalahgunaan teknologi AI serta cubaan menyebarkan fitnah menerusi penyebaran video pornografi.

“Pihak saya juga akan membuat laporan polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung ugutan di sebalik e-mel ini.

“Saya percaya dalang di sebalik ugutan ini menggunapakai modus operandi yang sama seperti yang turut diterima oleh Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, Wong Chen dan Mohammed Taufiq Johari.

“Justeru, saya menyeru masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet,” katanya.

Katanya, penyebaran kandungan palsu dan fitnah sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu bahkan turut mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |