Buka kedai emas, kasino cara ‘klasik’ cuci duit haram

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Membuka perniagaan berasaskan tunai seperti membuka kedai emas merupakan kaedah klasik untuk ‘mencuci’ hasil haram kerana emas mudah dipindahkan, dinilai semula dan disimpan tanpa banyak kesan jejak.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya juga mengesan pelbagai taktik moden lain yang digunakan atau berpotensi dilakukan oleh penjenayah rasuah.

Beliau berkata, pengubahan wang haram kini lebih berlapis kerana pelaku sering menggabungkan beberapa teknik sekali gus seperti menggunakan proksi keluarga, membuka kedai emas dan pada masa memindahkan dana ke platform kripto.

“Ada penjenayah rasuah yang melakukan perdagangan berasaskan pengubahan wang haram (Trade-Based Money Laundering) melalui manipulasi invois dan penghantaran barang.

“Selain itu ada yang menggunakan kasino dan platform perjudian dalam talian bagi menukar wang sogokan kepada kemenangan yang nampak sah dan menggunakan syarikat cangkuk dan proksi keluarga bagi menutup pemilikan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru itu Jais berkata, pihaknya menggesa penguatkuasaan lebih ketat dijalankan ke atas sektor berisiko tinggi termasuk emas, kasino, e-wallet dan platform kripto.

“Kerjasama lebih erat antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia, Polis, Kastam dan agensi lain untuk perkongsian maklumat.

“Selain itu, pemantauan teliti terhadap pemilik manfaat (beneficial ownership) dalam setiap syarikat dan transaksi bernilai tinggi perlu dilaksanakan,” katanya.

Katanya, MCW percaya tindakan tegas, pemantauan rentas agensi dan sokongan masyarakat adalah kunci untuk menutup ruang manipulasi kewangan oleh penjenayah rasuah.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen ditahan SPRM selepas disyaki menggunakan wang sogokan untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |