Penerjun muda mula pamer kematangan

10 hours ago 4

BIARPUN terlepas peluang mempertahankan pingat emas, penerjun muda negara, Lee Yiat Qing tetap mencuri perhatian apabila mempamerkan ketenangan luar biasa untuk meraih pingat perak tiga meter papan anjal wanita Terbuka Malaysia kelmarin.

Juara Sukan SEA Kemboja 2023 itu mengakui berpuas hati dengan persembahannya biarpun sekadar berakhir di tempat kedua di belakang Nadezhda Trifonova dengan perbezaan tipis hanya 2.25 mata di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

“Saya sebenarnya tidak menjangka boleh dapat keputusan macam ini. Pusingan awal pagi tadi agak goyah, tapi dalam final saya rasa lebih tenang dan tak terlalu stres,” kata atlet berusia 17 tahun itu.

Yiat Qing yang hanya mara ke final di kedudukan ketujuh selepas pusingan kelayakan dengan 196.60 mata, berjaya bangkit dengan terjunan konsisten dalam saingan akhir untuk mengumpul 270.35 mata.

Meskipun kecewa gagal mempertahankan emas, Yiat Qing enggan melihat keputusan itu sebagai kegagalan, sebaliknya sebagai batu loncatan untuk memperkukuh tahap kematangan dan keyakinan menjelang musim baharu tahun depan.

“Sekarang memang tiada kejohanan besar lagi tahun ini, jadi fokus saya untuk tingkatkan tahap kesukaran dan cuba sertai lebih banyak pertandingan antarabangsa. Dari situ, kita boleh biasakan diri dengan tekanan dan suasana pertandingan sebenar,” katanya.

Penerjun itu turut mengakui pesaing utama dari Singapura dan China kini semakin jauh ke depan dari segi variasi teknik dan kesukaran rutin, justeru menyifatkan aspek tersebut perlu dipertingkatkan oleh penerjun negara bagi mengekalkan daya saing di pentas Asia.

“Negara lain banyak guna rutin lebih sukar. Kalau kita nak kejar mereka, kita juga kena berani tingkatkan tahap kesukaran dan tambah pengalaman,” katanya yang pernah meraih emas individu 10m platform di Phnom Penh.

Bagi Yiat Qing, keputusan kali ini bukan sekadar tentang kedudukan podium, tetapi proses untuk terus memperbaiki diri menuju musim 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |