Sugarbomb aktif kuasai pasaran global

11 hours ago 4

PETALING JAYA – Tiada yang lebih bermakna buat mana-mana syarikat tempatan jika ia berjaya mencipta nama di persada antarabangsa apatah lagi mengukir sejarah tersendiri dalam industri pengeluaran minyak wangi.

Bagi yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa khususnya di pasaran ASEAN oleh  syarikat tempatan Sugarbomb Worldwide Sdn Bhd. dengan jenama popularnya Sugarbomb, ia telah memberi idea dan semangat kepada syarikat ini untuk terus memperkasakan lagi pengoperasian perniagaannya agar terus meneroka idea dan perancangan pada masa depan.

Syarikat yang memiliki kilang di Klang, Selangor itu mula mencabar diri untuk mengharumkan jenama dan sekali gus mengangkat imej negara di persada antarabangsa apabila menjadi  satu-satunya wakil dari ASEAN untuk menyertai pameran antarabangsa di Dubai World Trade Centre, Dubai pada akhir bulan lalu.

Ini adalah tahun kedua syarikat menyertai acara tersebut membolehkan ia lebih matang untuk membawa kelainan dalam pameran pada tahun ini.

‘Berkampung’ selama tiga hari bermula 27 Oktober lalu di Dubai Beautyworld Middle East 2025 memberi peluang kepada syarikat untuk  memperkenalkan Sugarbomb Heritage Collection yang telah mendapat  sambutan yang begitu menggalakkan daripada pengunjung pameran tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli berkata, pelaburan syarikat lebih daripada RM500,000 untuk penyertaan lebih berani di pameran di Dubai kini berbaloi kerana pihaknya berjaya mengangkat produk tempatan untuk diperkenalkan di pasaran antarabangsa dan beliau berbangga kerana dapat memperkenalkan koleksi eksklusif dengan lima wangian ikonik iaitu bara senja, suci nurani, titis embun, seloka malam dan gemersik sutera.

“Kami bangga membawa warisan Malaysia ke pentas dunia melalui seni batik dan wangian. Ini lebih dari sekadar produk, ia adalah cerita tentang budaya dan inovasi,” katanya dalam satu temubual secara langsung dari Dubai dengan media Malaysia baru-baru ini.

Ahmad Azhari menjelaskan, bagi koleksi terbaharu ini, ia juga telah mendapat pengiktirafan dan kerjasama daripada Givaudan salah satu pembekal perfume terbesar dunia, sekali gus mengangkat kredibiliti Sugarbomb ke peringkat global. 

Lebih menarik, dalam langkah memperkukuh identiti warisan tempatan, Sugarbomb turut bekerjasama dengan  Tinta Sutera, sebuah pengilang batik dari Kelantan, dalam mencanting motif batik khas secara eksklusif pada penutup botol setiap produk minyak tersebut.

“Oleh itu, koleksi kali lebih menarik dan menjadikan setiap botol unik dan tidak akan sama antara satu sama lain jelasnya.

Tambah beliau, haruman daripada koleksi terbaharu ini pastinya akan membolehkan pengguna dapat mengimbau kenangan lalu ketika berada di kampung atau semasa masih kecil lagi.

Ahmad Azhari menjelaskan, syarikat menyasarkan jualan sepanjang pameran tersebut adalah RM1 juta kerana minat yang yang ditunjukkan oleh pemborong produk wangian antarabangsa sedang mencari haruman unik seperti yang dihasilkan Sugarbomb untuk di bawa ke negara mereka masing-masing.

Ini jelas dilihat pada sidang video secara langsung tersebut menunjukkan reruai Sugarbomb tidak putus-putus dikunjungi pengunjung, pedagang dan juga wakil kerajaan untuk beramah mesra serta mendapatkan maklumat lanjut tentang produk keluarannya.

Beliau optimis ini adalah langkah awal dan seterusnya untuk syarikat aktif mempromosikan produk keluaran di pasaran antarabangsa bagi mengukuhkan jenamanya sekali gus dapat mencatat jualan untuk pertumbuhan syarikat masa depan.

“Selepas sebulan daripada penyertaan kami di Dubai, kami melancarkan koleksi terbaharu ini di Malaysia dan kami menjangkakan ia bakal mencatat jualan antara RM4 juta hingga RM5 juta dalam tempoh yang singkat.

“Kami yakin akan mencatat jualan yang menggalakkan kerana ia faktor keunikan dan haruman yang diperkenalkan yang mana ia memiliki ciri-ciri kelainan daripada haruman sedia ada, malah botol yang memiliki elemen batik ini juga bakal mencuit hati  peminat minyak wangi memiliki koleksi terbaharu ini,” jelasnya.

Sugarbomb yang asalnya dulu bermula daripada sebuah kios kecil terus meneruskan kelangsungan operasinya dengan misi besar ke peringkat antarabangsa kini berjaya membuktikan kedudukannya dalam industri ini.

Selain bertapak kukuh di pasaran tempatan, Sugarbomb juga telah melebarkan sayap melalui  pengedar rasminya di Dubai, Filipina, Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom dan India.

Malah kini syarikat yang diusahakan oleh sekumpulan usahawan muda dengan membawa jenama lokal itu akan melebarkan sayap perniagaannya ke pasaran Eropah, Argentina dan juga Amerika Utara. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |