Saya dibelasah, cermin kereta dipecahkan – Prince Syed

8 hours ago 4

PETALING JAYA – Usahawan dan pempengaruh, Prince Syed atau nama sebenarnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman mendakwa dirinya bukan sahaja menjadi mangsa fitnah, malah turut diserang secara fizikal hingga cedera.

Prince Syed mendakwa konflik rumah tangga antara dirinya dan keluarga mentua sudah berlarutan sejak kelahiran anak pertama lagi.

“Dari dulu macam-macam isu. Anak pertama pun dah ada salah faham. Saya ni jenis suka buat kejutan, jadi masa isteri bersalin, saya dan keluarga ‘plan’ (rancang) nak buat ‘surprise’ (kejutan) balik ke Gerik tanpa bagitahu keluarga dia dulu. Tapi tindakan itu disalah erti, terus saya difitnah macam-macam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, sejak itu hubungan dengan keluarga mentua menjadi tegang sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Saya stres lama, sampai doktor syak saya alami anxiety yang agak teruk. Tapi saya diam je. Saya bukan jenis suka buka aib atau bergaduh,” ujarnya.

Namun, keadaan didakwa semakin memuncak semalam, apabila berlaku insiden serangan fizikal terhadap Prince Syed di hadapan rumah kakaknya di Taman Bertih Laut, Teluk Pulai dekat Klang, Selangor.

“Semalam saya diserang. Kepala saya bengkak, kena pukul dengan helmet. Cermin depan dan belakang kereta saya dipecahkan. Saya berdarah teruk, memang sakit sangat. Saya lari terus ke balai polis untuk selamatkan diri,” katanya.

Prince Syed turut menafikan dakwaan bahawa dia menyembunyikan isterinya, Fatin Syazwani atau melarikan anak-anak mereka seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya tak pernah sorok anak, tak pernah larikan isteri. Kalau saya nak buat macam tu, dah lama saya buat. Baru je kami balik Gerik sebelum ke Langkawi. Semua fitnah semata-mata,” tegasnya.

Tambahnya lagi, isterinya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku dan meluahkan rasa kesal kerana konflik keluarga menyebabkan suaminya menjadi mangsa.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa sepanjang perkahwinan, dia tidak pernah berkira dengan keluarga mentua, malah sering membantu mereka dari segi kewangan dan keperluan harian.

“Saya belikan baju raya, pasang ‘aircond’, beli karpet, siap buat ‘shell out’ untuk keluarga mentua. Saya tak pernah berkira. Tapi bila jadi macam ni, saya sedih sangat sebab orang tetap nampak saya jahat,” katanya.

Terbaharu, empat termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul dan menyerang Prince Syed.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan KamalAriffin Aman Shah berkata, penahanan kesemua suspek berusia 22 hingga 59 tahun dilakukan semalam susulan laporan diterima daripada pengadu berusia 33 tahun itu.

Katanya, berdasarkan laporan itu mendapati insiden berlaku kira-kira pukul 2.40 petang di kawasan perumahan Taman Bertih Laut, Teluk Pulai di sini.

“Siasatan awal telah berlaku perselisihan faham dan pergaduhan di antara keluarga isteri dan pengadu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |