Birkin Hotel mahu jadi pelaksana ESG terbaik di negara ini

10 hours ago 4

Birkin International Hotel (Birkin Hotel) yang terletak di lokasi strategik jauh daripada hiruk pikuk kesibukan bandar Melaka, menawarkan satu pengalaman unik dengan ketenangan buat tetamunya bukan sahaja reka bentuk, seni reka, layanan mesra kakitangan tetapi juga ciri-ciri alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diamalkannya.

Ini adalah hotel di Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan daripada Asia dan ASEAN Records Organization sebagai pelaksana elemen ESG pertama dan terbesar oleh hotel lima bintang semasa pelancarannya. 

Pencapaian ini menjadi bukti kepada komitmen tinggi yang dilaksanakan oleh Pengurus Besar, Simon Tan bersama kakitangannya untuk membawa syarikat ini menuju kearah kelestarian  demi masa depan anak-anak dan cucu cicit.

Kesungguhan Tan yang memiliki pengalaman berharga di dalam industri hospitaliti dalam dan luar negara itu telah berjaya membawa hotel ini berada pada landasan yang kukuh untuk dikenali sebagai hotel yang mengamalkan inisiatif kelestarian  terbaik di negara ini.

“Sejumlah 12 sistem ESG yang dilaksanakan kini, bukan zon selesa buat kami, dan ia tidak berakhir di sini tetapi akan memberi idea serta semangat untuk kami semakin dalam bidang kelestarian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

KOSMO!: Tahniah atas kejayaan hotel menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records dan Asia baru-baru ini.

Simon Tan: Ya, saya berasa bangga, teruja dengan pencapaian terbesar ini sejak hotel mula beroperasi akhir tahun lalu.

Anugerah ini adalah yang kami sasarkan untuk pelan beberapa tahun akan datang tetapi kerana usaha gigih kami selama ini, hotel ini mendapat pengiktirafan lebih awal daripada apa yang dijangkakan.

Ini menjadikan Birkin Hotel sebagai hotel pertama di Malaysia yang menerima penganugerahan tertinggi ini.

Usaha dan komitmen semua kakitangan sangat-sangat kami hargai dan ini adalah kejayaan mereka juga.

Kami akan terus melengkapkan kakitangan dengan ilmu dan semangat untuk terus mengekalkan standard ini malah bertambah baik untuk tahun seterusnya.

Selain itu, jika telah mencapai di peringkat Asia, kami mahu mendapat pengiktirafan di peringkat dunia pula.

Apa perancangan hotel seterusnya?

Pengiktirafan ini menjadikan kami perintis dalam melaksanakan inisiatif kelestarian dalam industri hotel dan ia mungkin boleh dijadikan model atau contoh terbaik kepada pemain lain termasuk juga daripada industri berbeza, kami sedia membantu menawarkan khidmat dan tunjuk ajar mengenai elemen ESG yang kami laksanakan dalam pengoperasian sedia ada.

Ini semua adalah untuk masa depan generasi masa depan yang melibat anak dan cucu kita.

Bagi perancangan masa depan, pihak hotel akan memastikan pekerja kami dapat menjalani lebih banyak latihan dan kursus dalam bidang ini.

Kami juga akan memfokuskan dalam segmen penggunaan solar dan juga penjimatan tenaga elektrik. 

Apakah antara 12 elemen ESG yang diamalkan?

Hotel ini menghasilkan air RO sejak bulan April tahun ini sehingga sekarang dan jumlah air minuman yang dikeluarkan oleh kilang kami yang terdapat dalam bangunan hotel ini adalah sebanyak 50,000 botol.

Jika kiraan sebulan, ia adalah antara 3,000 hingga 5,000 botol sebulan. Air minuman ini telah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga pengesahan berkaitan makanan selamat.

Jadi semua air minuman yang terdapat di dalam bilik adalah air minuman yang dihasilkan oleh pihak hotel sendiri.

Kami juga melaksanakan kitaran semula sampah untuk dijadikan baja tanaman yang digunapakai oleh semua pokok, bunga, di taman hadapan hotel juga di taman permainan dan kolam renang yang padat dengan tumbuhan serta juga pokok tanaman yang ada di balkoni bilik masing-masing.

Selain itu, air hujan juga ditakungkan selain diproses semula untuk membolehkan ia menjadi air siraman kepada pokok tanaman di sekitar hotel ini.

Hampir setahun hotel beroperasi, bagaimana sambutan pelancong dan pencapaiannya sehingga kini?

Selepas fasa prapembukaan dan majllis pembukaan secara rasmi oleh TYT Melaka dan sehingga kini, bilik yang beroperasi hanya sekitar 200 unit sahaja kini bertambah kepada 527 bilik, ini bermakna kami kini beroperasi secara penuh dan sambutan daripada pelancong adalah menggalakkan.

Jika musim percutian, kadar penginapan tetamu boleh cecah kepada 80 peratus dan jika pada hari bekerja biasa di Melaka, kami pernah menerima hanya 50 tempahan bilik sahaja.

Kami tidak risau apabila tibanya hari hujung minggu kerana menerima kunjungan yang ramai pengunjung daripada Lembah Klang, Johor dan Singapura, manakala bagi pelancong luar negara adalah dari China, Hong Kong dan Taiwan. 

Apakah inisiatif kelestarian dan anugerah yang diterima akan memberi kesan positif kepada hotel?

Kami berkeyakinan terhadap apa yang kami laksanakan dan kami sentiasa terapkan kepada kakitangan tentang elemen kelestarian agar mereka memahaminya malah ia juga dapat dikongsikan bersama dengan tetamu kerana kami menjadikan Birkin Hotel ini berbeza daripada pesaing kerana kesungguhan kami melaksanakan inisiatif ESG.

Amalan kemampanan ini sudah mula diterima pakai di seluruh dunia, semua orang faham tentang ESG malah kini ada ejen pelancongan yang bakal membawa ratusan pelancong untuk menginap di hotel ini, mahu mengetahui samada hotel ini melaksanakan elemen ESG.

Hotel ini juga turut mendapat perhatian syarikat korporat dan konglomerat yang memfokuskan kepada hotel yang memiliki piawaian, standard dan pensijilan tentang amalan ESG, kerana ia telah termasuk dalam KPI yang ditetapkan oleh syarikat. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |