SEREMBAN – Tradisi teater randai yang sinonim dengan gerak silat dan penceritaan rakyat Minangkabau kini diberi nafas baharu menerusi pementasan Teater Randai ‘Alahai Si Milah’ selama dua hari sejak kelmarin.
Ia berlangsung di Auditorium Raja Melewar Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan di sini.
Teater hasil karya dan arahan Noor Idlah Abdul Halim itu dipersembahkan dalam Program Karya Teater 2025 anjuran Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan dengan kerjasama JKKN Negeri Sembilan.
Menurut pengarahnya, Noor Idlah Abdul Halim, naskhah yang ditulisnya setahun lalu itu membawa mesej tentang keberanian membuat pilihan hidup tanpa mengabaikan nilai tradisi.
“Saya ambil inisiatif untuk memperlihatkan bagaimana pandangan kolot terhadap perkahwinan dengan orang Negeri Sembilan menjadi suatu cabaran. Mesejnya bukan soal asal usul, tapi soal hak untuk menentukan masa depan sendiri,” katanya.
Naskhah ini mengisahkan Milah, seorang gadis yang ingin berkahwin dengan Alexander, lelaki luar dari Kampung Dioh, namun dihalang bapanya, Pak Hamid kerana terikat janji hutang dengan Pak Tam.
Penentangan masyarakat mendorong Milah bertindak nekad melarikan diri dan berkahwin tanpa restu keluarga yang menggambarkan konflik pertentangan antara tradisi, tanggungjawab dan keinginan peribadi.
Menariknya, randai kali ini disusun dalam bentuk ‘Randai Negeri Sembilan’ versi yang mengekalkan struktur asal randai Minangkabau, tetapi disesuaikan dengan loghat, budaya dan identiti masyarakat tempatan.
Noor Idlah berkata, randai asalnya dari Minangkabau dan di Negeri Sembilan ia berkembang dengan warna tempatan.
“Ramai penggiat seni di sini masih aktif, cuma persembahan makin jarang. Jadi objektif penganjuran pementasan teater sebegini adalah kerana kami mahu menghidupkannya kembali dan dapat ditonton oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Antara pelakon pentas ialah Jihaa Sham, Fuad Nasir, Ain Sufia, Farhan Asri, Aloeng Silalahi, Fitri Ismail, Fazreen Mohd. dan Dila Abdul Halim.
Pengarah JKKN Negeri Sembilan, Mazidah Mustapha berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan badan bukan kerajaan dan penggiat muda seni tempatan untuk bersama-sama memperkukuh aktiviti teater di negeri ini.
“Diharapkan kegiatan seni budaya, khususnya teater, terus hidup dan tidak terhenti setakat ini sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
4

















































