ALOR SETAR – Kegiatan licik dua bekas subkontraktor syarikat telekomunikasi yang menyamar sebagai juruteknik untuk mencuri kabel pencawang tumpas apabila mereka berjaya ditahan polis.
Dua suspek itu antara 10 warga tempatan yang ditahan susulan laporan kecurian kabel pencawang di Jalan Putra, Kampung Lubok Peringgi, di sini pada 24 Ogos lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, hasil siasatan mendapati pencawang tersebut dipecah masuk dan sebanyak empat batang kabel jenis RRU power cable sepanjang 12 meter telah dipotong serta hilang.
“Bertindak atas laporan itu, kita berjaya menahan sembilan lelaki dan seorang wanita warga tempatan terdiri daripada juruteknik pencawang, pemilik premis barang lusuh serta penganggur.
“Kesemua mereka mengaku terlibat dalam kegiatan itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Kata beliau, hasil siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek merupakan bekas subkontraktor syarikat telekomunikasi yang menyamar sebagai juruteknik dengan memakai pakaian keselamatan.
“Mereka kemudian memasuki kawasan pencawang menggunakan kunci pendua. Kabel yang dipotong akan digulung, dibakar dan seterusnya dijual kepada pemilik premis barang lusuh pada harga antara RM25 hingga RM36 sekilogram,” ujarnya.
Menurutnya, hasil tangkapan dan operasi yang dijalankan, polis berjaya menyelesaikan 31 kes melibatkan 15 kes di daerah Kota Setar, Kubang Pasu (4), Yan (6) dan Padang Terap (4).
“Kejadian turut berlaku di Perlis melibatkan dua kes iaitu di Arau dan Padang Besar,” katanya.
Ujarnya, sebanyak 18 kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwaan, manakala baki 11 kertas siasatan masih dalam tindakan untuk dilengkapkan.
“Setakat ini, satu kertas siasatan telah diarahkan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambahnya, anggaran kerugian dialami pihak syarikat melebihi RM50,000, manakala nilai rampasan dilakukan kira-kira RM15,000.
“Kegiatan curi kabel ini menyebabkan gangguan pada sistem komunikasi serta perhubungan awam selain menjejaskan keyakinan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE