53.9 peratus lepasan SPM pilih TVET

2 hours ago 1

GOMBAK – Seramai 53.9 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu sekali gus menghampiri sasaran 70 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Itu menunjukkan usaha merombak ekosistem pendidikan negara ke arah bidang berkemahiran tinggi kini berada pada landasan yang betul. Pada akhir RMK13 nanti kita berhasrat supaya lepasan SPM ini, 70 peratus daripada mereka berada dalam sektor TVET tinggi dan ini telah dapat dicapai setakat ini dengan pencapaian 53.9 peratus. Maksudnya kita memerlukan kira-kira 17 peratus saja untuk capai matlamat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) British Malaysian Institute (BMI), di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini terdapat 439,000 pelajar TVET di seluruh negara melibatkan 1,398 institusi.

“Jumlah itu telah mencecah satu angka yang disifatkan signifikan dalam usaha merubah landskap pendidikan negara.

“Matlamat untuk merubah ekosistem pendidikan pada akhir RMK13 mampu dicapai melalui usaha berterusan Unikl dan fakulti-fakulti di bawah universiti berkenaan, selain sokongan institusi TVET lain tanpa mengetepikan kursus tradisional bagi sektor yang tidak memerlukan kepakaran tinggi,” katanya.

Sementara itu, UniKL BMI berkata, lawatan kerja itu membuktikan pengiktirafan terhadap peranan UniKL BMI sebagai peneraju pembangunan modal insan dalam bidang TVET khususnya dalam sektor tenaga elektrik, elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan bioperubatan elektronik.

Semasa lawatan itu, Ahmad Zahid turut merasmikan bangunan net-zero/energy-plus pertama di Malaysia, Sustainable Energy Living Lab (SELL) yang dilengkapi panel solar di bumbung dan dinding, sistem penyimpanan tenaga termal dan elektrikal, serta teknologi pengurusan bangunan pintar yang menjana penjimatan tenaga sebanyak 51 peratus. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |