TANAH MERAH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menafikan dakwaan tular di media sosial mengatakan kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Rahmat, Bukit Bunga di sini semalam berpunca daripada tindakan kenderaan utiliti sukan (SUV) jabatan tersebut mengejar sebuah lori.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, siasatan mendapati, anggota JPJ yang memandu SUV tersebut ketika itu sedang melaksanakan rondaan rasmi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2026 dan mematuhi prosedur operasi serta peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
Menurutnya, video berdurasi 34 saat yang tular di media sosial yang mendakwa kejadian itu berpunca daripada tindakan kenderaan JPJ mengejar lori tidak benar dan tidak berasas.
“JPJ Kelantan memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan orang ramai dan menjejaskan reputasi jabatan.
“Kenderaan jabatan ketika itu sedang melaksanakan rondaan rasmi dan bukan terlibat dalam sebarang aksi mengejar seperti didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Misuari memberitahu, siasatan lanjut berhubung kemalangan berkenaan kini berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Keadaan SUV milik JPJ selepas bertembung sebuah kereta di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Rahmat, Tanah Merah semalam. FOTO IHSAN BOMBAMenurutnya, sehubungan itu, JPJ meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga siasatan lengkap dijalankan.
“JPJ turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa terlibat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
“Semoga roh mangsa dicucuri rahmat dan kepada yang cedera, didoakan agar segera sembuh,” ujarnya.
Beliau berkata, JPJ menegaskan komitmen jabatan tersebut untuk terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berintegriti dan berhemah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Media semalam melaporkan, anak kepada editor kanan Astro Awani disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Rahmat, Bukit Bunga di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Perodua Myvi yang dipandu Allahyarham Mursyid Azmi, dan sebuah SUV jenis Toyota Fortuner milik JPJ terlibat dalam perlanggaran ketika kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah bertentangan.
Berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku di laluan selekoh dengan garisan tengah berkembar, dalam keadaan cuaca baik.
Kenderaan Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Rantau Panjang dipercayai terbabas ke lorong bertentangan sebelum melanggar kenderaan Toyota Fortuner di bahagian sisi kanan. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
7




![[VIDEO] Warga asing ‘piknik’ tepi kubur, mengemis wang di hari raya](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/PEMINTA-SEDEKAH-ROHINGYA-KUBUR.jpeg)











































