OLAHRAGA Malaysia (MA) kini memulakan misi besar bagi memastikan negara kembali mendominasi sukan olahraga di rantau ini dengan mempertaruhkan seramai 40 atlet pelapis sebagai persediaan awal menghadapi Sukan SEA 2027.
Langkah proaktif itu menyaksikan kesemua atlet tersebut kini diletakkan dalam fasa persediaan rapi bagi memburu tempat mewakili negara pada temasya dwitahunan yang bakal berlangsung di laman sendiri tahun depan.
Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim berkata, peningkatan jumlah atlet dalam program pembangunan itu adalah langkah strategik bagi memastikan skuad negara mempunyai kelompok bakat yang luas untuk bersaing dalam kira-kira 48 acara yang ditawarkan.
“Adalah penting untuk kita mempunyai kelompok atlet yang besar supaya sasaran pada 2027 dapat dicapai. Fokus utama kami sekarang adalah melihat perkembangan pelapis ini dan setakat ini mereka adalah hasil saringan terbaik yang menepati kriteria ditetapkan.
“Pihak MA akan sentiasa memantau prestasi mereka dari semasa ke semasa menerusi jurulatih masing-masing serta ketua jurulatih dan penyelaras program,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama Atlet dan Jurulatih di ibu negara, semalam.
Dalam pada itu, Nurhayati turut memberi sinar harapan buat atlet yang ketika ini berada di luar program pembangunan tersebut apabila menegaskan pintu skuad kebangsaan sentiasa terbuka.
Jelasnya, kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan akan menjadi medan ujian buat atlet luar membuktikan kemampuan jika mahu diserap masuk ke dalam program elit tersebut.
“Kita masih menawarkan peluang kedua menerusi saringan di Terbuka Malaysia Jun ini. Atlet di luar program digesa mengambil bahagian kerana jika prestasi mereka menonjol, mereka akan dinilai semula untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.
“Ini adalah peluang terbuka bagi memastikan hanya yang terbaik akan mewakili negara di pentas besar seperti Sukan SEA nanti,” tambahnya lagi.
Misi besar yang digerakkan MA itu dilihat sebagai pelan jangka panjang yang agresif bagi mengelakkan ketandusan bakat, sekali gus memastikan Malaysia mampu mendominasi acara olahraga selaku sukan ‘lubuk emas’ pada edisi 2027.

4 hours ago
4





![[VIDEO] ‘Silakan berlumba, aku dah standby van jenazah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-22-at-9.18.12-AM.jpeg)







![[VIDEO] Warga asing ‘piknik’ tepi kubur, mengemis wang di hari raya](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/PEMINTA-SEDEKAH-ROHINGYA-KUBUR.jpeg)



































