SHAH ALAM – Seorang mekanik bengkel motosikal yang tular merokok dan bergaduh dengan pasangan suami isteri di sebuah restoran di Seksyen 7 di sini, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ini selepas permohonan reman terhadap suspek berusia 49 tahun tersebut ditolak Mahkamah Majistret.
Katanya, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
“Reman tidak dibenarkan Majistret dan tertuduh akan diberikan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan untuk pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu berkelakuan aib.
Difahamkan suspek menunggang ke Thailand bersama sekumpulan rakannya dan bercuti di situ dalam tempoh empat hari.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul pukul 4.30 petang di Persiaran Kayangan Seksyen 9, di sini selepas pulang menunggang motosikal dari Thailand.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod lampau.
Kosmo! sebelum ini melaporkan berang ditegur merokok menyebabkan seorang lelaki bergaduh dengan pasangan suami isteri di sebuah restoran di Seksyen 13 di sini, baru-baru ini.
Kejadian pukul 11.50 malam pada 11 September lalu menimpa seorang wanita hamil dan suaminya yang tidak selesa dengan tindakan suspek merokok di meja berdekatan.
Mangsa hamil lapan bulan dan bimbang dengan kesihatannya kemudian meminta pekerja restoran menegur perbuatan lelaki itu, namun tidak diendahkan.
Selepas tiga kali ditegur suami mangsa, suspek bangun dan menghampiri pasangan berkenaan serta didakwa menghembus asap rokok ke arah mangsa sebelum berlakunya pertengkaran.
Insiden itu bertukar menjadi aksi tolak-menolak sebelum suspek beredar meninggalkan restoran yang dipenuhi pelanggan. – KOSMO! ONLINE