HULU SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan empat Program Diploma Kepolisan yang mempunyai pengiktirafan Akreditasi Sementara daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kepada anggota-anggota pasukan itu.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, empat bidang pengajian itu melibatkan Pengurusan Kepolisan, Siasatan Kepolisan, Keselamatan Dalam Negeri dan Perisikan Keselamatan.
“Evolusi ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan peningkatan ekspektasi masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan terbaik PDRM menuntut inisiatif pemerkasaan sumber manusia yang lebih berkualiti bagi memartabatkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Pembangunan program ini selari dengan Pelan Strategik PDRM (PSPDRM) 2021-2025 ke arah memperkasakan tahap profesionalisme dan pemberdayaan organisasi melalui pendidikan serta latihan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) PDRM di Maktab PDRM Kuala Kubu Bahru, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, PDRM juga membangunkan Program Kemahiran Malaysia, Pengurusan Operasi Bahagian (Kepolisan) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Pengurusan Operasi Daerah (Kepolisan) Tahap 5 mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK).
“Usaha mentransformasi warga Sang Saka Biru agar lebih kompeten dan cemerlang, turut diterjemahkan menerusi Kursus Asas Peralihan Detektif mengikut SKPK Detektif Tahap II.
“Ia melibatkan Detektif Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” katanya.
Beliau berkata kursus ini boleh membentuk pegawai dan anggota polis berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam memartabatkan PDRM sebagai agensi kepolisan bertaraf dunia. – KOSMO! ONLINE