BANDAR GAZA – Seorang lelaki Palestin, Hamdan Hadad menamakan bayi perempuannya, Singapura sebagai tanda penghargaan, lapor portal berita MSNews hari ini.
Beliau memberi nama itu bagi menghargai bantuan yang telah diberikan oleh raykat Singapura kepada penduduk Gaza.
Dalam satu rakaman video yang dihantar pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Love Aid Singapore, Gilbert Goh di platform Instagram, Hamdan mendedahkan bahawa isterinya yang sedang hamil pernah makan di dapur rakyat Singapura yang diwujudkan untuk membantu penduduk Gaza.
Dalam video tersebut, Hamdan yang bekerja sebagai tukang masak untuk dapur rakyat Singapura anjuran Love Aid ditanya mengapa beliau menamakan anak perempuannya sedemikian.
Bapa itu menjawab dalam bahasa Arab bahawa beliau telah bekerja untuk Love Aid selama dua tahun dan berasa amat gembira.
Hamdan mahu menamakan anaknya Singapura sebagai tanda terima kasih kepada rakyat negara itu kerana beliau sangat menyayangi mereka.
Katanya, ketika isterinya sedang hamil, beliau sering makan makanan dari dapur Love Aid.
Ia menyebabkan isterinya dapat bertahan daripada kebuluran teruk yang melanda semasa konflik berpanjangan di Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 sehingga gencatan senjata dipersetujui antara Hamas dengan Israel awal bulan ini.
Seorang kakitangan NGO tersebut menunjukkan sijil kelahiran bayi itu kepada kamera, sambil menunjukkan bahagian di mana namanya tertera sebagai Singapura dalam tulisan Arab.
Kakitangan itu berkata bahawa bayi itu merupakan anak Palestin pertama yang diberi nama Singapura.
Dia juga menyerahkan sejumlah wang tunai kepada bapa bayi itu bagi pihak Love Aid. – AGENSI