Muslihat ‘pelik’ tuan rumah Sukan SEA

4 hours ago 1

SKUAD terjun negara berdepan cabaran luar biasa pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila tuan rumah didakwa menggunakan taktik ‘kotor’ menggugurkan beberapa acara penting yang menjadi teras kepada disiplin Olimpik.

Jurulatih terjun negara, Ooi Tze Liang mendedahkan keputusan itu amat janggal kerana hanya empat acara dipertandingkan kali ini iaitu 1 meter (m) papan anjal lelaki, 3m papan anjal lelaki, 3m papan anjal seirama lelaki dan 10m platform seirama wanita

Menurutnya, ketidakseimbangan pengkhususan disiplin antara penerjun lelaki dan wanita juga dilihat sebagai satu strategi bagi menyekat dominasi Malaysia yang selama ini menjadi kuasa besar acara terjun di rantau Asia Tenggara.

“Ini kali pertama acara Olimpik digugurkan dan di sini kita lihat agak pelik. Sebelum ini (Sukan SEA Kemboja) potong acara, tapi tak pernah potong acara Olimpik.

“Jadi agak tricky (muslihat) dan tidak adil sebab ada acara, perempuan sahaja, tiada lelaki. Ada (acara) lelaki tetapi tiada acara perempuan. Penerjun wanita hanya bertanding acara platform, manakala penerjun lelaki cuma papan anjal.

“Ini strategi tuan rumah, mereka tak mahu kita sapu banyak pingat emas. Kalau semua acara standard dipertandingkan, sudah tentu kita ada peluang cerah untuk menang lebih banyak,” katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Bagaimanapun, Tze Liang yang membuat penampilan sulung sebagai jurulatih selepas enam penampilan sebagai atlet di Sukan SEA, tetapi yakin skuad negara tidak terganggu dengan percaturan itu.

“Bagi Malaysia, kita sentiasa fokus pada persiapan kita sendiri. Itu (penetapan acara) adalah urusan orang atasan kerana tugas atlet adalah berlatih dan beraksi dengan baik.

“Cabaran daripada negara lain seperti Singapura dan Indonesia juga semakin meningkat, tapi saya yakin dengan kemampuan atlet kita,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |