GP Malaysia tetap ‘hangat’ tanpa Marquez

5 hours ago 1

BIARPUN juara dunia MotoGP 2025, Marc Marquez tidak dapat turun ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 tetap panas apabila kini mencatatkan jualan tiket melebihi 85 peratus daripada kapasiti keseluruhan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, sambutan luar biasa itu membuktikan sokongan peminat tempatan terhadap sukan permotoran meskipun tanpa kehadiran pelumba sensasi Ducati tersebut.

“Tanpa Marc Marquez pun, kita masih dapat lihat sambutan yang sangat positif. Sekarang jualan tiket sudah capai sekitar 85 peratus dan ia terus meningkat setiap hari.

“Bahagian Grandstand Utama, K1 dan F antara yang paling laris dengan hanya berbaki beberapa ribu tiket sebelum habis dijual. Ini menunjukkan minat peminat tempatan terhadap MotoGP semakin tinggi,” katanya.

Marquez terlepas dua perlumbaan di Australia dan Malaysia selepas mengalami kecederaan patah tulang serta kecederaan ligamen sewaktu bersaing di GP Indonesia.

Dalam pada itu, Azhan turut berkata, pengumuman penyertaan Hakim Danish Ramli sebagai pelumba wildcard dalam kelas Moto3 bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI turut menjadi pemangkin kepada lonjakan jualan tiket.

“Hakim Danish ‘anak pertama’ daripada program pembangunan ini. Kami telah mengikuti perjalanannya sejak berusia 12 tahun dalam SIC MiniGP dan kini bakal beraksi di grid MotoGP. Ini adalah bukti pelan pembangunan yang dibina benar-benar berfungsi.

“Penampilan wildcard ini bukan sekadar kejayaan peribadi Hakim Danish, tetapi juga bagi seluruh pasukan teknikal, mekanik, dan rakan kongsi seperti AEON Credit yang percaya kepada program ini.

“Kepada semua peminat sukan permotoran, datanglah ke Sepang, penuhi grandstand dan berikan sokongan padu kepada Hakim Danish ketika beraksi menentang pelumba-pelumba terbaik dunia,” ujarnya.

Dalam masa sama, Azhan menjangkakan saingan perebutan tempat kedua dalam kejuaraan dunia antara Francesco Bagnaia, Marco Bezzecchi dan Alex Marquez bakal menjadi tumpuan utama perlumbaan di Sepang nanti. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |