Suami mangsa datang rumah kami maklum isteri, anak mati – Jiran

4 hours ago 2

SEBERANG PERAI – Jiran kepada dua beranak yang dipercayai dibunuh di Kampung Sekolah Juru, di sini malam tadi, memaklumkan suami mangsa sempat datang ke rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa selepas mengetahui kejadian menimpa isteri dan anaknya.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, 50an, berkata, lelaki itu bertanya sama ada dia ternampak jika ada kenderaan yang keluar masuk pekarangan rumah sewanya itu.

“Dia lintas jalan, datang ke arah rumah saya dan terus tanya ada nampak kenderaan mencurigakan keluar dari rumah dia.

“Lepas saya kata tak nampak, dia beritahu isteri dan anak kena bunuh. Bila dia cakap macam tu, terus rasa seram dan memang terkejut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Seorang lagi jiran Ideris, 60-an, berkata, dia jarang terserempak dengan keluarga terbabit kerana pasangan suami isteri itu sibuk bekerja.

“Memang jarang nampak mereka dan kalau tak silap saya, suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan isterinya pula tukang masak kantin, tapi tidak pasti pula di mana.

“Tapi, kalau kami terjumpa, masing-masing akan senyum sebagai tanda menyapa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran mendakwa, kejadian disedari semasa suami mangsa yang berasal dari Johor itu pulang dari tempat kerja.

“Suami mangsa terkejut sebaik melihat keadaan isterinya yang sangat menyayat hati. Dia kemudiannya pergi mendapatkan anaknya, namun anaknya juga ditemui tertiarap di atas rumah dalam keadaan berlumuran darah,” ujarnya .

Difahamkan, keluarga berkenaan menyewa di kediaman dua tingkat separa kayu itu sejak lebih setahun lalu dan sebelum itu mereka tinggal di kawasan berhampiran sekolah dekat situ.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang ibu bersama anak perempuannya ditemukan maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Juru, Seberang Perai, kira-kira pukul 8 malam tadi.

Kedua-dua mereka dipercayai ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk hampir putus kepala dan terputus tangan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |