EPL: Amorim dedah syarat jika United mahu menang

6 hours ago 2

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tetap menghormati Liverpool menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam ini.

Pengendali dari Portugal itu tanpa berselindung mengakui tidak tahu berapa lamakah masa yang diperlukan untuk skuad The Red Devils kembali memberikan cabaran kepada juara bertahan Liga Perdana itu.

Selepas kali terakhir United menjadi juara Liga Perdana pada musim 2012/13, Liverpool sudah pun menjadi juara sebanyak dua kali, masing-masing satu kali di bawah kendalian Jurgen Klopp dan Arne Slot.

Ketika ditanya sama ada perlawanan malam ini mampu menjadi medan buat United membuktikan mereka sudah semakin mengecilkan jurang dengan Liverpool ataupun tidak, Amorim hanya mahu memberikan perhatian terhadap pertemuan itu.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu kerana dalam bola sepak, kadang-kadang perubahan berlaku dengan pantas. Anda semua tahu bahawa kedua-dua pasukan memiliki sejarah memenangi banyak kejuaraan, namun United sedang berada dalam situasi sukar.

“Liverpool juga pernah berada dalam situasi sama dan ketika itu United sentiasa memenangi perlawanan dan meraih gelaran. Bagi saya, apa yang penting adalah untuk memberikan sepenuh perhatian kepada perlawanan itu nanti,” katanya.

Berbeza dengan Liverpool yang mencatat tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini, United berada dalam situasi lebih baik apabila menang dua daripada tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.

Sementara itu, Amorim turut memberi jaminan kepada penyokong-penyokong United bahawa tidak mustahil untuk mereka membawa pulang tiga mata ke Old Trafford sekiranya semua pemain mengikut segala perancangan yang dibuat.

“Saya mahu jujur dengan penyokong-penyokong United bahawa kami boleh menang dalam mana-mana perlawanan sekiranya fokus pemain adalah untuk mengutip tiga mata. Kami akan cuba melakukannya.

“Kami pernah mencatat keputusan seri ketika bermain di Anfield Januari lalu dan itu adalah bukti bahawa United mampu untuk berdepan sesiapa sahaja,” ujarnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |