Banjr Hulu Langat: Kami sudah lali…

2 hours ago 1

HULU LANGAT – Segelintir penduduk di daerah ini mengakui sudah lali dan bersedia menghadapi banjir kilat setiap kali kawasan itu dilanda cuaca hujan lebat.

Seorang penghantar e-hailing, Alia, 35, berkata, dia menyedari hujan mula turun sejak tengah malam tadi dan bimbang sekiranya kediamannya dinaiki air.

“Saya rasa tengah malam tadi dah mula hujan, nak kata lebat sangat tak, tetapi saya rasa macam akan banjir.

“Pagi itu saya tak boleh tidur, kejap-kejap tengok di luar takut air naik. Selepas itu saya terlelap dan sedar air naik selepas ayah kejutkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Alia berkata, limpahan air di kawasan itu didakwa naik semakin cepat sejak kejadian banjir besar pada Disember 2021.

“Sejak dari kecil duduk di sini, dahulu pun banjir tetapi dia lambat naik, setakat hujan beberapa jam itu air naik dekat bahagian belakang rumah sahaja sebab memang ada laluan air sungai.

“Tapi selepas banjir besar itu (2021), saya rasa bila hujan beberapa jam pun air boleh naik sampai ke dalam rumah, macam hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia dan keluarganya sudah bersedia setiap kali musim hujan tiba.

“Setiap tahun mesti banjir, rasanya orang dekat sini pun sudah lali. Cuma kami harap kejadian banjir besar pada 2021 itu tidak berulang,” jelasnya.

Menurut penduduk Kampung Sungai Serai, Yuni, 55, berkata, air banjir kali ini lebih tinggi berbanding kebiasaannya.

“Dua tahun menyewa di sini saya rasa sudah lapan kali banjir, hujan lama sikit sahaja banjir, saya rasa hujan dalam empat ke lima jam mesti air naik,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan kawasan Dusun Tua dan Kampung Sungai Serai di sini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |