BAGAN SERAI – “Saya tidak sangka dia sanggup bertindak sejauh ini hanya kerana cemburu,” demikian luahan pilu Hamidah Khalid, 44, ibu saudara kepada Nurul Nur Syamira Khamis, 28, yang maut ditikam dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak, malam tadi.
Menurut Hamidah, mangsa pernah mengadu dipukul bekas suami sehingga membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan lelaki itu.
Namun selepas dibebaskan, hubungan mereka kembali tegang apabila suspek melarikan dua anak lelaki mereka berusia enam dan tiga tahun.
“Selepas keluar lokap, dia lari bawa anak. Kami semua tidak tahu ke mana. Kemudian dia hubungi keluarga, berjanji mahu serahkan anak hari ini (Jumaat). Tetapi janji itu tidak tertunai, sebaliknya Nurul pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Sungai Perotan, Selinsing, di sini hari ini.
Hamidah berkata, punca kejadian dipercayai disebabkan rasa cemburu apabila suspek mengetahui mangsa bakal berkahwin Oktober ini.
“Dia tahu Nurul ada rancangan untuk berkahwin. Dari situlah saya percaya timbulnya tindakan di luar kawalan ini. mangsa diragut tanpa belas kasihan hanya kerana cemburu buta,” ujarnya.
Menurut Hamidah, kali terakhir mereka berjumpa adalah pada Julai lalu di Sungai Petani, namun tetap berhubung setiap hari melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, keluarga hanya mengetahui kejadian sebenar sekitar pukul 3 pagi selepas mendapat maklumat mengenai sepasang lelaki dan wanita maut ditikam di Kedah.
“Apabila disahkan, kami semua tergamam. Ketika itu ayah mangsa pun masih belum tiba di hospital,” katanya.
Kata Hamidah, lokasi dua anak kecil mangsa masih tidak diketahui sehingga kini.
Hamidah menegaskan bahawa pihak keluarga hanya mahukan keadilan buat Nurul.
Jenazah Nurul dijangka tiba di Kampung Sungai Perotan sekitar jam 8 malam ini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung itu bersebelahan pusara ibunya. – KOSMO! ONLINE