PERNAH mencetuskan fenomena dengan filem Jagat pada 2015 apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), pengarahnya Sun-J Perumal kini tampil dengan buah tangan terbaharunya, Macai yang telah ditayangkan pada 13 November lalu dan Blues pada 4 Disember ini.
Menurut Sun-J yang juga pemenang Pengarah Harapan FFM28, meskipun karya arahannya adalah sebuah filem Tamil, namun pengisiannya tetap berwajah Malaysia berbeza dengan filem Kollywood atau Bollywood.
“Saya membesar di Parit Buntar, Perak. Sejak kecil saya melihat filem Tamil dari India, walaupun saya faham bahasanya, tetapi budayanya sangat berbeza. Jadi, saya berazam jika saya mencari pengarah , saya mahu menghasilkan karya Tamil bernuansa Nusantara atau bahasa mudahnya berwajah Malaysia.
“Sejujurnya kebanyakan filem Tamil tempatan mengambil acuan filem dari Bollywood dan penonton juga sudah terbiasa dengan formula itu. Meski agak sukar, saya harus mencuba dalam memberi nafas baharu terhadap filem Tamil tempatan,” katanya usia tayangan perdana filem Macai dan Blues baru-baru ini.
Berharap penonton memberi peluang kepada Blues yang bakal ditayangkan di pawagam pada 4 Disember, filem yang menjalani penggambaran pada 2022 dengan kos sebanyak RM1 juta itu dijanjikan cukup berbeza.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan disebabkan ada beberapa filem tempatan yang tidak mencapai tahap diingini dan sering mengulang jenis jalan cerita tertentu, semua karya tempatan terus dihukum begitu.
“Saya berharap orang ramai akan menonton filem ketiga saya Blues dipawagam. Jangan tunggu sehingga filem itu keluar di laman penstriman kerana pengalaman menonton dipawagam dengan di kaca televisyen sangat berbeza,” ujarnya.
Multiverse
Macai dan Blues merupakan karya dalam ‘multiuniverse’ Jagat. Kedua-dua filem itu bukanlah sekual mahupun prekuel, namun watak-watak di dalam ketiga-tiga karya itu saling berkaitan.
“Jika mereka ada menonton filem Jagat ada babak andai watak kanak-kanak itu memilih untuk menjadi penjenayah, jalan ceritanya ada dalam filem Macai. Tetapi jika dia memilih untuk terlibat dalam seni dan menjadi seorang pengarah, filemnya adalah Blues.
“Meskipun saling berkaitan, ketiga-tiga filem ini boleh berdiri dengan sendiri. Penonton boleh menonton filem Blues tanpa menonton filem-filem yang lain, tetapi jika menyaksikan ketiga-tiga karya mereka akan mendapat perspektif yang berbeza,” ulas Sun-J lagi.
Filem Blues yang dibintangi oleh Karnan Kanapathy, Rubini Sambanthan, Rupini Krishnan, Tinesh Sarathi Krishnan, Kuben Mahadevan dan Shabby mengisahkan tentang seorang pembantu produksi yang bekerja secara jujur dan melalui pelbagai cabaran untuk mencapai impiannya.
Berkongsi pengalaman berlakon di bawah arahan Sun-J, bintang utamanya Karnan berkata, keseluruhan produksi seperti sebuah keluarga besar dan sangat berdisiplin ketika bekerja.
“Mulanya tidak tahu saya adalah watak utama, selepas berlakon kedua-dua filem memang agak tertekan kerana kita tahu filem Jagat cetuskan fenomena, jadi harus buat lebih baik.
“Ketika penggambaran, semua orang berada di dalam karakter masing-masing. Selain soal kerja untuk penggambaran, kami tidak akan berbual sebaliknya pengarah memberi kami senarai lagu untuk didengar supaya mood karakter kami terjaga.
“Meski Blues adalah sebuah filem Tamil tetapi pengisiannya sangat universal dan dekat dengan semua masyarakat di Malaysia. Saya harap penonton tempatan akan memberikan sokongan,” kata Karnan.
Sebelum berada di pawagam Malaysia, Blues terlebih dahulu telah ditayangkan di beberapa filem festival antarabangsa antaranya, di Rotterdam; Osaka, Jepun; Hanoi, Vietnam dan Laos. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1

















































